Cuit Zaini Hassan

Cukup-cukuplah berkhayal – Mohd Azhar

Saya membaca tulisan Zaini Hassan bertajuk Umno dan orang melayu pada hari ini. Tekaan saya pada awalnya, tulisan tersebut ingin menyatakan rintihan dan kekesalan orang melayu terhadap Umno yang akhir-akhir ini semakin berani meluahkan perasaan benci mereka terhadap pemimpin-pemimpin mereka. Agakkan saya pada awal tadi meleset sama sekali. Benar kata sahabat saya, utusan tetap utusan.

Nasihat saya kepada penulis tersebut mudah. Cukup-cukuplah berkhayal. Satu dunia tahu skandal 1MDB dan derma 2.6 billion adalah isu korupsi yang sedang mencengkam negara kita kini. Mengapa sampai ke isu IS perginya? Tidakkah penulis tersebut tahu rakyat marah dan benci kepada sikap pemimpin negara kini yang ternyata terkait dengan isu-isu tersebut.

Semua khayalan penulis tersebut sangat dangkal. Penulis seolah-olah menghalalkan semua perkara selagi ia dinaungi dengan nama institusi Melayu. Pendedahan penyelewengan 1MDB, Tabung Haji dan Mara dianggapnya sebagai serangan kepada institusi Bumiputera walhal perkara yang didedahkan adalah bagi menjaga kepentingan Bumiputera. Katanya semasa menulis tulisan tersebut fikirannya masih waras, namun bagi saya dia gagal membezakan yang mana makruf dan yang mana mungkar. Waraskah itu?

Orang melayu tidak akan merempat mengharapkan BRIM sekiranya kekayaan negara diagih dengan adil kepada seluruh rakyat Malaysia. Pemerintahan negara yang telus dan beramanah akan menghindarkan negara daripada terjerumus kepada krisis yang berlaku pada hari ini.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin yang ada pada hari ini tidak amanah. Lalu dituduh ada dalang dan tangan-tangan ghaib yang merancang untuk menghuru-harakan negara. Mungkin baginya ‘bumiputera’ bernama Jho Low itu adalah penyelamat negara daripada tangan-tangan ghaib ini.

Khayalan penulis lebih merisaukan apabila dikaitkan pula situasi Umno dengan perancangan memburukkan nama Islam di negara Arab melalui IS dan Al-Qaeda. Bagi seorang yang waras, mereka sedar pemimpin-pemimpin kamu lama memburukkan nama Islam. Pemimpin-pemimpin kamu melakukan penyelewengan dengan menggunakan nama Islam.

Derma 2.6 bilion dikatakan kononnya atas usaha menghalang gerakan IS tapi dimasukkan dalam akaun peribadi. Andai pendekatan itu dijadikan amalan, ramai yang akan berkempen untuk membantu rakyat Gaza dengan meminta orang ramai menderma dengan memasukkan wang di dalam akaun peribadi individu terbabit. Adakah dengan menggunakan Islam untuk menghalalkan semua perkara boleh diterima mereka yang waras?

Sekali lagi dinasihatkan, segeralah berhenti berkhayal. Marilah bersama menyelamatkan negara ini dari dipimpin mereka yang tidak amanah. Rakyat sudah celik. Tak perlu utus khayalan-khayalan kamu itu. – 19 Ogos, 2015.

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/cukup-cukuplah-berkhayal-mohd-azhar#sthash.ZhZzgQee.dpuf

Leave a Comment

Your email address will not be published.