Cuit Zaini Hassan

Al-kisah Melayu Tanjung, DAP, lupa daratan dan bangsat!

 

ORANG MELAYU Pulau Pinang bukan simpati pun dengan apa yang berlaku di Kampung Mutiara. Benarkah? Itu yang saya diberitahu oleh Melayu Tanjung yang lain.

Sebaliknya orang Melayu masih mengkagumi kepemimpinan Lim Guan Eng.

Mereka kata LGE baik. Setiap tahun LGE menaja orang-orang Melayu mengerjakan haji.

Malah derma LGE dihebah-hebahkan kepada jemaah-jemaah lain di Mekah. Maka orang Melayu lain yang mendengarnya ternganga mulut.

Kumpulan yang naik haji di bawah tajaan kerajaan Pulau Pinang ini tidaklah sebesar yang dihantar oleh 1MDB, tetapi mereka merata dan tinggal dengan muassasah yang lain.

Menurut mereka apa yang  berlaku di Kampung Mutiara itu kecil sahaja. Demi pembangunan apa salahnya?

Namun percayalah, apa yang berlaku kepada penduduk Kampung Mutiara itu akan senyap dalam beberapa minggu lagi. Macam Kampung Buah Pala, siapa yang bercakap lagi?

Macam penduduk kampung di Balik Pulau, siapa peduli lagi?

Alah, orang Melayu Penang ini hingaq depa sat saja.

kg_mutiara_ditangguh_roboh

Adakah nasib penduduk Kampung Mutiara ini benar benar akan terbela? Atau ia akan menjadi nasib seperti kampung-kampung Melayu yang lain selang bulan akan senyap!

**********

Kerajaan Pulau Pinang sungguh halus dan kasar cara mereka menangani soal tanah dan perumahan. Kerajaan BN Pulau Pinang dulu bersopan dan tertib, tapi itu pun jatuh juga, ditolak oleh orang Melayu Pulau Pinang.

Selangor dan Pulau Pinang sama sahaja senarionya. Kedua-dua negeri itu kaya. UMNO dahulu juga masing-masing kaya. Semasa mereka memerintah, teguran rakyat tidak diendahkan. Apabila jatuh terus senyap.

Oleh itu jangan main-main dengan politik. Rakyat kini bukan rakyat dahulu lagi. Rakyat dahulu tidak ada media sosial. Rakyat sekarang walaupun perkara bohong yang dipaparkan kepada mereka, mereka percaya.

Apatah lagi jika perkara yang didedahkan itu benar-benar berlaku.

Nampaknya kerajaan DAP begitu menitikberatkan mengenai soal geopolitik atau kawasan geografi politik mereka.

Di Selangor geopolitik atau kawasan politik orang Melayu juga kini semakin terhakis.

Pemimpin UMNO dahulu juga amat menitikberatkan geopolitik. Ia penting untuk survival politik mereka. Maka itu rumah-rumah murah diwujudkan di merata tempat di Lembah Klang dari Datuk Keramat sehingga ke Shah Alam.

Seorang bekas ketua pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pernah memberitahu saya, tugas utamanya pada masa itu ialah untuk membangunkan “rumah-rumah kilat setinggan” untuk orang-orang Melayu.

Mengapa? Supaya UMNO boleh menubuhkan  cawangan, bahagian parti dan seterusnya boleh mewujudkan kawasan Parlimen.

Itu jugalah yang berlaku di Selangor apabila Shah Alam dibangunkan.

Persoalannya, adakah para pemimpin UMNO, para menteri dan penjawat awam mutakhir ini melakukan perkara yang sama? Adakah mereka sedar semua itu?

Kini Kampung Kerinchi sudah hapus, Kampung Abdullah Hukum sudah hilang, Datuk Keramat apa sudah jadi, Sentul, Bukit Lanjan semua sudah jadi terlalu mewah.

Di Shah Alam kemungkinan kekuasaan Melayu akan semakin mengecil. Dahulu orang lain tidak suka dengan Shah Alam. Kini mereka sudah berpusu-pusu masuk.

Kononnya ada satu projek kondo di Seksyen 14, Shah Alam (di tengah-tengah bandar raya) kouta bukan bumi terpaksa ditambah kerana permintaan yang tinggi.

Kononnya lagi, permohonan pemaju swasta kondo itu yang di JV dengan sebuah anak syarikat kerajaan negeri, sudahpun diluluskan. Kuota bukan bumi dinaikkan dan logiknya sudah pastilah kuota bumi pula terpaksa dikurangkan? Hairan ya, orang Melayu yang mahu membeli di situ diberitahu “sudah habis”.

Itulah hakikatnya.

************

Sebaliknya DAP yang mendapat mandat memerintah, sedang melakukan apa yang dilakukan UMNO pada tahun-tahun 70an dan awal 80an dahulu.

Itulah yang berlaku di Pulau Pinang. Mereka sedang melakukan aktiviti pecah dan perintah terhadap orang Melayu di kawasan pulau.

Apa yang pasti tapak Kampung Mutiara itu akan menjadi kondo dan pangsapuri yang melepasi kemampuan orang Melayu untuk membelinya.

Berbeza dengan rancangan rumah murah di Lembah Klang sekitar 70an dulu, di Pulau Pinang mereka akan membina rumah-rumah mewah.

Ikut perangkaan yang disiarkan semalam oleh Institut Penyelidikan Khazanah purata harga rumah di Pulau Pinang mencecah RM300,000.

Bagi saya apa yang dilakukan kerajaan DAP LGE itu betul. Seperti dalam perlawanan sukan, siapa yang cepat, bijak dan bermain dengan penuh strategi dia akan  menang.

Sebaliknya, siapa yang lupa daratan dan tak sedar diri akan tersungkur dan akhirnya akan merempat dan membangsat di bumi sendiri.

Tapi adakah mereka peduli?

Leave a Comment

Your email address will not be published.