Cuit Zaini Hassan

Calon Melayu SDP enggan jawab soalan dalam Bahasa Melayu

Dari http://berita.mediacorp.sg/mobilem/specialreports/pilihanraya/calon-melayu-sdp-enggan/2082398.html

SINGAPURA: Calon Melayu pertama yang diperkenalkan oleh Parti Demokratik Singapura (SDP) bagi pilihan raya kali ini, Encik Sidek Mallek, enggan menjawab soalan dalam bahasa Melayu semasa ia diajukan kepada beliau.

Juruaudit berusia 55 tahun itu didedahkan dalam satu sidang media SDP semalam, sebagai calon Melayu pertama yang diperkenalkan secara rasmi oleh parti itu.

Dalam sidang media itu, Encik Sidek ditanya apakah yang boleh beliau lakukan bagi masyarakat Melayu/Islam sebagai Anggota Parlimen Melayu.

Membalas soalan tersebut, Encik Sidek bertanya sama ada beliau boleh menjawab dalam bahasa Inggeris, sambil tertawa. Kemudian beliau berdiam seketika, sebelum bertanya jika boleh dikecualikan dari menjawab soalan itu.

Soalan tersebut sebaliknya dijawab oleh anggota jawatankuasa eksekutif pusat SDP, Jufrie Mahmood, yang berkata parti itu akan memutuskan apakah isu-isu masyarakat Melayu yang akan diperjuangkan Encik Sidek dan seorang lagi bakal calon Melayu SDP, yang belum didedahkan.

Encik Jufri yang menjawab dalam bahasa Inggeris kemudian menambah: “Orang sekarang tidak banyak bercakap Melayu. Beliau seorang Melayu, jadi beliau bercakap Melayu. Namun untuk bercakap dalam keadaan seperti itu, beliau mungkin tidak dapat menjawabnya dengan sebaik mungkin… jangan salahkan beliau. Jika beliau dilantik, berikannya beberapa bulan, beliau akan dapat berbuat demikian.”

Encik Sidek akhirnya tidak menjawab soalan itu, walau dalam bahasa Inggeris pun. Malah pada satu ketika, boleh kedengaran Encik Sidek berbisik kepada Encik Jufrie untuk “cut it short” ataupun memendekkan jawapannya.

– BERITAMediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published.