Cuit Zaini Hassan

Kalau bukan MH370 pun ia pasti bangkai pesawat – Jamil

“Sekiranya pihak berkuasa mahu saya membantu mereka pergi ke Pulau Sugbay untuk siasat, saya rela. Bagaimanapun keselamatan perlu dijaga kerana di sana berhampiran kawasan penduduk Sulu.

“Saya percaya ada bangkai pesawat kapal terbang di Pulau Sugbay. Emak saudara  saya dan anaknya bercakap benar dan tidak menipu,” kata Jamil Indar ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Jamil yang membuat laporan polis Jumaat lalu mengenai penemuan pesawat yang dikhuatiri MH370 oleh anak saudaranya yang menjadi penduduk asli di pulau bersempadanan Filipina pada September lalu.

Kakitangan Jabatan Penerangan Sandakan berusia 46 tahun itu memberitahu, niatnya membuat laporan polis kerana rasa terpanggil selepas ibu saudaranya, Siti Kayam bersusah payah datang menemui di Sandakan bagi memberitahu perkara yang sama.

Lagi pun, katanya, sebagai kakitangan awam dan beragama Islam, niatnya hanya membantu.

“Kalau bukan MH370 pun, pasti ada bangkai pesawat di sana seperti diceritakan ibu saudara saya. Lebih pasti, bila mereka (anak saudara dan rakan-rakannya) menemui bendera Malaysia di dalam bangkai tersebut untuk dijadikan selimut di dalam hutan..setahu saya bendera kita tidak sampai ke sana (Pulau Sugbay) kerana saya tahu..saya bekerja dengan Jabatan Penerangan,” ujarnya lagi.

Jamil pernah pergi ke Pulau Sugbay melawat saudara maranya dan ada gambar pulau berkenaan yang kemudiannya diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung penemuan serpihan pesawat yang tertera bendera Malaysia dipercayai milik MH370 di selatan Filipina.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Zabidi Md Zain memaklumkan, laporan polis itu dibuat oleh seorang penduduk di kepulauan berkenaan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada serpihan itu milik MH370.

Lelaki yang membuat laporan di Balai Polis Sandakan itu akan dipanggil.

Pihak Cawangan Khas akan menyoal pengadu untuk mendapatkan butiran terperinci.

Jamil  telah membuat laporan polis dengan mendakwa ibu saudaranya menemui satu bangkai pesawat pada awal September lalu, di Hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina.

Ibu saudara Jamil mendakwa dalam pesawat itu terdapat banyak rangka manusia selain menjumpai sehelai bendera Malaysia.

Datuk Jalaluddin berkata, pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada laporan yang diterima itu benar atau palsu.

Dalam pada itu, Jamil memberitahu Malaysia Gazette, dia memberi kerjasama dengan polis kerana yakin ia bukan cerita rekaan.

Sama ada ia pesawat MH370 yang hilang secara misteri atau tidak, biar pihak berkuasa menyiasatnya.

Ditanya lanjut keadaan bangkai pesawat yang diceritakan kepadanya, Jamil memberitahu, anak saudaranya berkata, keadaan bangkai pesawat itu musnah teruk seperti diserang dinasour.

“Mereka ini (anak saudaranya dan rakan-rakannya) mencari burung di kawasan hutan di sana dan terjumpa bangkai pesawat.

“Mereka cuma boleh bercerita keadaannya sahaja dan tidak ada bukti bergambar kerana mereka tidak ada telefon bimbit seperti kita kerana mereka penduduk asli lagi pun di sana tidak ada sebarang komunikasi moden,” jelasnya lagi.

Difahamkan, polis telah mengambil keterangan secara terperinci di kediamannya di Sandakan hari ini berhubung perkara yang sama.

–MalaysiaGazette

Leave a Comment

Your email address will not be published.