Cuit Zaini Hassan

Hak Mengundi PRU14, Soal Hudud dan Mahasiswa Ubi Kayu!

 

Cuit Zaini Hassan

2,435,225 MELAYU, BUMI, PRIBUMI TIADA HAK MENGUNDI?

 

CATATAN statistik terbaharu Suruhanhaya Pilihan Raya (SPR) setakat 5 Januari 2016.

  • Yang layak mendaftar (melepasi umur 21) 17,658,700 orang.
  • Sudah mendaftar 13,468,946 orang.
  • Belum mendaftar 4,189,754.
  • 1,803,188 atau 43 peratus daripada 4,189,754 adalah orang Melayu.
  • 29 peratus (1,222,134) Cina.
  • 9 peratus (378,931) India.
  • 7 peratus (298,910) Bumiputera Sabah.
  • 9 peratus (302,391) Bumiputera Sarawak.
  • 0.71 peratus (30,736) Orang Asli.
  • 3 peratus (153,564) Lain-lain.

 

Berdasarkan perangkaan itu, lebih 1.8 juta orang Melayu yang layak mengundi masih tidak mendaftar sebagai pengundi. Secara keseluruhan Melayu, bumiputera dan Pribumi Orang Asli yang tidak mengundi ialah sejumlah 2,435,225 orang.

Kita tidak tahu mengapa angka ini terlalu besar.  Adakah mereka tidak sedar hak mereka? Adakah mereka itu tidak peduli? Tidakkah mereka tahu bahawa masa depan negara ini terletak di tangan mereka?

Ingatlah berdasarkan analisis pilihan raya umum ke-13, kumpulan 1.8 juta ini amat signifikan bagi menentukan pengekalan demokrasi yang ada ini.

Saya difahamkan walaupun jumlah belum mendaftar kaum-kaum lain juga besar tetapi kempen-kempen pendaftaran dijalankan secara agresif. Mereka juga sedar bahawa penentuan kuasa politik negara ini berada dalam tangan para pengundi.

Dalam PRU13 kemenangan kawasan UMNO, misalnya adalah bergantung kepada undi orang Melayu.

Contohnya, DUN Bukit Malawati, UMNO menang tipis (806 undi) semata-mata kerana undi Melayu, iaitu sokongan pengundi Melayu melebihi 70 peratus. Begitu juga Parlimen Kuala Selangor, kemenangan tipis (460 undi) bergantung kepada sokongan undi Melayu.

Terlalu banyak lagi senario yang serupa berlaku.

Oleh itu, jika kali ini mereka tidak mendaftar sebagai pemilih maka jurangnya akan menjadi lebih melebar. Kita tidak tahu apakah strategi pihak lawan dalam menguasai kawasan yang mereka kalah tipis itu?

Buat masa ini, kurang daripada 800 hari lagi pada PRU14 akan datang, masing-masing sedang menyusun strategi masing-masing.

Oleh itu siapa yang mahu menang harus mengembelingkan tenaga mendaftarkan para pengundi masing-masing secepat mungkin. Siapa lambat dia akan ketinggalan.

Dalam konteks politik Malaysia masa kini, sedikit terlambat akan membawa musibah yang cukup besar.

 

NO MORE HUDUD KATA PAN?

 

KASIHAN orang Melayu di negara ini. Mereka sering kali dimainkan oleh para pemimpin politik mereka. Lebih malang apabila pemikiran mereka telah diatur oleh tok-tok guru sehingga menjadi terlalu taksub, jumud dan tidak rasional.

Mereka tidak sedar itu hanyalah permainan politik semata-mata. Namun apabila Islam, agama yang kita cukup sayangi ini dipengaruhi oleh doktrin serta ideologi politik kepartian, maka politik boleh menjadi Islam dan Islam itu politik.

Selama ini para pemimpin Pas, termasuk yang kini berada dalam PAN – Parti Amanah Negara sudah tidak amanah dengan pegangan mereka selama ini, yang kononnya mempertahan dan memperjuangkan hukum hudud.

Hudud telah ditanamkan di pemikiran orang Melayu Pas pada awal 90an sehingga para pengikut mereka sanggup mati kerana pegangan tersebut.

Semasa saya menjadi pemberita di Kota Bharu pada 1990 — doktrin hudud itu dicipta untuk mempengaruhi para pengikut parti itu supaya menekan kerajaan Pusat melaksanakannya — walaupun pucuk tertinggi Pas sedar ia amat-amat sukar untuk dilaksanakan.

Saya mengikuti rapat perkembangan doktrin hudud itu yang saya amati hanyalah permainan politik semata-mata. Sehinggalah Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia, hukum itu masih terkial-kial mahu dilaksanakan di Kelantan.

Mereka hanya mahu memberi tekanan kepada Pusat, supaya satu masalah baharu dicipta untuk menyusahkan kerajaan Pusat. Antara orang yang siang malam menjaja doktrin hudud itu adakah mereka yang berada dalam PAN sekarang — termasuk al fadil ustaz tok guru Mat Sabu.

Kini apa sudah jadi? Fikirlah sendiri kemunafikan orang kita ini, demi mahu memusnahkan pemikiran bangsa mereka sendiri.

Kita ikuti tulisan ini yang disiarkan oleh portal berita MyMassa:

TIADA lagi isu hudud dalam Pakatan Harapan yang dipegang secara ‘agree to disagree’ (setuju untuk tidak bersetuju) dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Konsep ‘agree to disagree’ merujuk kepada satu keadaan di mana pihak bertelagah bersetuju untuk menghormati perbezaan pendirian masing-masing dalam sesuatu prinsip, demi untuk bergabung atas sesuatu matlamat, sekalipun ia tidak akan menyelesaikan pertikaian yang berpunca daripada perbezaan tersebut.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli ketika membacakan kandungan perjanjian Pakatan Harapan berkata prinsip ‘agree to disagree’  bukan lagi menjadi asas kepada gabungan pembangkang baharu Pakatan Harapan, sebaliknya ketiga-tiga parti perlu berpegang teguh kepada konsensus yang dipersetujui secara bersama.

“Fasal pertama, segala keputusan bersama mestilah berasaskan prinsip konsensus iaitu setiap parti di dalam Pakatan Harapan perlulah bersetuju sebulat suara dengan keputusan itu.

“Agree to disagree (setuju untuk tidak bersetuju) bukan lagi prinsip Pakatan Harapan,” kata Rafizi semasa Persidangan Pertama yang diadakan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Rafizi berkata keputusan konsensus itu akan mengikat PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam Pakatan Harapan.

“Jika keputusan bersama secara konsensus sudah dicapai, keputusan itu dikira mengikat ketiga-tiga parti,” katanya.

Konsep ‘agree to disagree’ diperkenalkan PR pada 8 Februari 2015 berkaitan dengan isu hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan.

Ia sebagai rentetan daripada Kenyataan Bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September 2011 yang berbunyi:

“Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan Pas menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.”

Walaupun menghormati prinsip itu, namun pendirian DAP dalam isu hudud amat konsisten iaitu DAP tidak akan menyokong pelaksanaan hukum hudud di mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama masyarakat majmuk di Malaysia.

Fikir-fikirkanlah sendiri wahai orang Melayu Islam sekelian. Selama ini kita sudah kena main!

 

MAHASISWA UBI KAYU!

 

SEBENARNYA saya enggan menulis mengenai isu budak-budak universiti kebuluran ini.

Saya teringat isu rusuhan pelajar anjuran Anwar Ibrahim sekitar 1974 dahulu kononnya penduduk Baling terkebulur tiada makan dan hanya makan ubi kayu atau singkong.

Namun, menurut Ibrahim Ali yang terbabit dalam demo pelajar itu, mereka semua ditipu oleh Anwar kerana penduduk Baling tak kebulur pun. Nak tahu cerita lagi baca Memoir Ibrahim Ali yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Saya pun pernah belajar. Cuma bezanya kami disuap kerana menjadi pelajar ITM. Makan pagi, tengah hari dan malam kami makan percuma di Dewan Makan.

Itu pun ada juga “tragedi” kerana para pelajar merusuh kerana makanan tak sedap. Dahlah makan free, nak cakap banyak pula. Itu cerita dulu, sekarang di UiTM pun makan kena makan bayar sendiri. Tapi belumlah lagi saya mendengar pelajar kebulur.

Dulu semasa kami diberi makan, kami juga buat kerja sambilan. Saya malas nak ceritalah kerja sambilan apa yang saya buat. Tapi adalah kerja sambilan yang saya buat. Ada jugalah pendapatan sambilan yang saya dapat. Nak harapkan ibu bapa pun mereka bukan senang sangat.

Jadi pada masa ini apabila saya mendengar ada budak U kebulur sehingga usus pecah, maka saya termenung jauh. Yang berlaku pula tu kepada anak-anak Melayu kita, alahai.

Saya ada dapat mesej daripada seorang mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan juga mantan pengetua sebuah sekolah berasrama penuh (SBP). Begini bunyi mesejnya:

TAK termasuk akallah seteruk begitu, mahasiswa kebuluran. Malas berusaha, malas kerja sambilan, tidak ada inisiatif, laparlah. Sekurang-kurangnya pun boleh buat kuih, nasi lemak dan sebagainya pun boleh dapat duit. Contohnya, saya sendiri melihat dan makan kuih yang dibuat dan dijual oleh dua beradik  gadis Melayu (pelajar universiti an adikbya pelajar kolej) di London. Ayah mereka pekerja rendah di Pejabat Daerah Raub dan ibunya penjual kuih.

Kedua-dua pelajar ini tidak dapat biasiswa pun. Berikutannya adik bongsu mereka pun dikeluarkan dari SBP Raub dan dihantar belajar di London. Mereka hanya dibayar yuran tuition. Lain-lain perbelanjaan, mereka usahakan sendiri.

Tegasnya mereka (4 beradik) tidak kebuluran walaupun di luar negara. Aneh sungguh di negara sendiri kebuluran. Pendatang asing berjuta di negara kita pun kekenyangan.

Pun begitu DS Idris Jusoh amat komited untuk membantu mahasiswa berkenaan, jika benar-benar ada yang tak makan.

Kita berharap isu ini bukan direka-reka oleh pihak tertentu untuk terus menerus memberi tekanan kepada kerajaan pusat semasa. Jika benar maka soal ini harus ditangani segera.

Leave a Comment

Your email address will not be published.