Cuit Zaini Hassan

El Balak atau El Nino: Apa sudah jadi hutan Tembeling?

“Sebatang rokok sahaja,” kata seorang Tok Batin kepada saya ketika kami mahu masuk ke dalam sebuah hutan semasa menyertai Misi Selamatkan Hutan Tadahan Air Negara Ulu Tembeling, selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

“Alah 30 minit sahaja jalan kaki masuk hutan itu,” kata seorang lagi peserta ekspedisi itu.

Tanpa berfikir panjang saya mengatur langkah, untuk ke Sungai Kinchin, anak Sungai Kembir yang menyalurkan air minuman kepada penduduk kampung.

Suasana di dalam hutan itu ha¬nyalah terdiri daripada pokok-pokok renik – tiada batang-batang besar pokok balak.

“Ikut saja paip air yang berselinap macam ular itu.” Jadi saya dan beberapa orang lain dari belakang dan depan ikut paip berwarna hitam itu.

Paip itu adalah Sistem Bekalan Air Graviti (GFS) yang mengambil air di pintu muka kolam air yang ditakung bagi membekalkan air kepada Kampung Bukit Mat Daling sehingga Kampung Bantal – yang kini beberapa rumah sahaja menikmati bekalan itu – kerana air terlalu keruh semasa hujan.

Kami akhirnya tiba ke kolam air itu. Saya terkejut. Kolam itu yang mengandungi batu-batu sungai yang besar dan kecil, ciptaan Tuhan sebagai penapis air, diliputi dengan ranting-ranting pokok dan batang-batang pokok tiada nilai.

“Sungguh tak bertamadun orang yang melakukannya. Apa sebenarnya ada dalam kepala mereka?” fikir saya.

Betul-betul di gigi anak sungai itu terdiri kawasan tanah merah – sudah tiada hutan 100 peratus. Kawasan tanah yang diratakan itu akan ditanam dengan kelapa sawit.
“Kelapa sawit apa di tengah-te¬ngah hutan belantara Ulu Tembeling ini?” tertanya lagi saya dalam hati.

Kawasan itu sudah dicuci mang¬kuk, kata Prof. Maketab Mohamed, saintis air dari UTM. Cuci mangkuk bererti, tanah diratakan, balak diambil dan tiada apa tinggal.
Maketab itu seorang yang vokal. Kecintaannya terhadap alam cukup-cukup tinggi.

Kami yang ikuti misi juga cukup tinggi kesedaran kepada alam sekitar. Tak kiralah orang kampung setempat, Orang Asal, para wartawan dan editor-editor kanan, sehinggalah kepada team pemandu 4×4 — yang mengikuti misi itu semuanya seperti tak percaya.

Anak sungai pun mahu dikambusnya?

Mengikut laporan terkini Intergo¬vernmental Panel on Climate Change (IPCC) disebabkan pemanasan global cuaca ekstrem akan meningkat dan dunia akan mengalami masalah air di masa depan. Oleh itu kawasan tadahan air perlu diselamatkan.

Maketab dalam Facebooknya selepas keluar dari hutan tebal itu menulis: “Apa jenis (orang) yang boleh membenarkan kerosakan terhadap sistem air minum yang dibina penduduk (GFS) di Sungai Kinchin (anak Sungai Kembir) di Ulu Tembeling?

Apabila ditanya ADUN kawasan itu, yang kebetulan berada di kawasannya semasa misi itu diadakan, menjawab: “Sungai Kinchin tidak diwartakan sebagai kawasan tadahan.”

ADUN itu berada di situ kerana menganjurkan satu karnival penduduk kampung. “Sungguh kebetulan karnival itu diadakan serentak dengan misi kita?” kata seorang peserta misi.

Sama ada kebetulan atau tidak itu bukan persoalannya, yang menjadi tanda-tanya para peserta ialah: Bukankah tugas seorang ADUN untuk menentukan Sungai Kinchin dijadikan kawasan tadahan dan tidak dimusnahkan sewenang-wenangnya?

Hasil tinjauan itu, saya dapat lihat hutan-hutan di situ dibalak secara agresif.
Siapa yang menebang balak dan menggondolkan di Ulu Tembe¬ling – secara spesifik dalam tadahan Su¬ngai Kembir, Sungai Neriap dan Sungai Ketiai?

Ironisnya, ketika balak-balak ditebang para penduduk Kampung Bukit Mat Daling, Kampung Bantal dan kampung-kampung sekitar di¬serahkan anak-anak pokok hutan untuk ditanam semula – kononnya nak tanam 100,000 pokok?

Seorang rakan misi berkata: “Mana lokasi kawasan yang akan ditanam semula? Siapa yang akan memantau dan menyulam pokok-pokok yang mati?”

“Dengan tanah gersang tanpa air, berapa peratus anak-anak pokok yang ditanam akan hidup dan membesar – dan boleh ditebang semula 50 tahun dari sekarang?”
Selama mana Rakyat Uulu Tembeling akan terus menerus diperlakukan sedemikian rupa?

Hasil tinjauan itu kami mendapati dua sungai utama yang menjadi sumber bekalan air mentah kepada sebahagian besar penduduk di Semenanjung Malaysia, iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Pahang kini sema¬kin cetek dan berada di tahap kritikal.

Dikatakan, ini bukanlah kerana fenomena El Nino, tetapi juga akibat penerokaan hutan yang tidak terkawal di kawasan itu.

Pakar-pakar alam sekitar menyifatkan ini ‘bencana air negara!’

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil – penganjur misi itu berkata, hasil misi yang turut disertai oleh 50 buah kenderaan pacuan empat roda itu, satu deklarasi tujuh ketetapan utama yang dinamakan ‘Deklarasi Ulu Tembeling’ telah dikeluarkan.

“Hasil pemerhatian yang kita lakukan selama tiga hari di Ulu Tembeling kita dapat membuat ke-simpulan keadaan Sungai Tembe¬ling dan Sungai Pahang yang cetek bukan hanya kerana fenomena El Nino atau kemarau panjang.

“Sebaliknya juga berpunca daripada kegiatan pembalakan dan pembukaan hutan tidak terkawal di kawasan hutan tadahan air semula jadi yang terdapat di kawasan Ulu Tembeling sehingga menjejaskan sungai-sungai di kawasan itu,” katanya selepas misi berkenaan.

Sehubungan itu, Deklarasi Ulu Tembeling mendesak kerajaan negeri supaya menghentikan semua kegiatan pembalakan dan rancangan pembangunan ladang kelapa sawit secara besar-besaran di Lembah Sungai Kembir yang dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

“Ini termasuk pembalakan di kawasan hutan tadahan semula jadi di Ulu Sungai Tembeling dan semua anak sungainya termasuk Sungai Kembir, Sungai Kanchin, Sungai Pengau, Sungai Sephia, Sungai Neriak, Sungai Lempah dan Sungai Tekal dan sekitar banjaran Gunung Dulang dan Gunung Ais.

“Kita juga telah memperakukan bahawa kegiatan pembalakan tidak terkawal ini berpunca daripada penyelewengan dan kegagalan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa negeri.

“Justeru kita mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai yang terlibat,” kata Khaidir Ahmad selaku Presiden Peka Pahang yang memetik deklarasi itu.

“Kita akan serahkan deklarasi ini kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan salinannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta agensi kerajaan yang berkaitan,” kata Sabrina.

Seorang peserta misi yang juga peguam, Jehan Bakar menulis dalam Facebooknya:
“Malas nak menulis secara ilmiah tentang isu kawasan tadahan air kita yang kian terancam. Not many will appreciate deep, scientific ana¬lysis at this hour.

So, saya cuma nak offer analogy badan kita sendiri. Kalau kurang air, macam mana? Akan mengalami dehidrasi, zero water retention, lemah, macam tak cukup vitamin dan mi¬neral kan? Boleh bawa kepada collapse of internal organs dan dalam kes-kes yang lebih ekstrem, kematian.

Begitulah juga bumi kita ini. Kalau terus-terusan kita jahanamkan kawasan tadahan airnya, ia akan lemah dan semakin rosak. Jika tidak diambil langkah pemulihan, tidak mustahil kita berhadapan dengan sungai yang mati dan kawasan pamah yang ibarat padang jarak padang tekukur.

Air tak berwarna, tak berbau, tak berasa, dan bebas klorin, air sa¬ngat penting bagi semua makhluk hidup di bumi. Tidak ada manusia, binatang, atau pun tumbuhan yang dapat hidup tanpanya. Dari gajah hingga mikrob, air adalah penting; dan tidak ada apa pun penggantinya. Untuk tetap sihat, masing-masing penduduk bumi perlu minum air kira-kira dua setengah liter setiap hari, dalam bentuk cairan dan makanan.
Tiada air, tiada kehidupan. Percayalah!” Itulah kata Jehan. Saya termenung jauh membacanya.

Tak terfikir juga saya jika kawasan itu – sebuah lembangan berusia 130 juta tahun (lebih tua daripada hutan Ama¬zon), rumah kepada 10,000 jenis tumbuhan, 150,000 spesies serangga, 25,000 jenis invetebrata, 675 spe¬sies burung, 270 jenis reptilia, 250 spesies ikan air tawar dan 200 jenis mamalia – mahu diganggu-gugat.

Misi itu berjaya membuka mata saya. Ketamakan menguasai kewarasan.
Terima kasih semua.

Leave a Comment

Your email address will not be published.