Cuit Zaini Hassan

Kisah WhatsApp, si benci, 
si taksub dan McLuhan…

 

SAYA mahu menulis mengenai budaya WhatsApp. Ini kerana saya teringat sahabat media saya Saudara Azman Ujang (Datuk Seri) malam semalam memberitahu saya bahawa siapa yang mencipta WhatsApp ini “cukup hebat”.

Saya sendiri ada berdozen-dozen grup WhatsApp. Ada grup sosial, tugas, keluarga, anak-anak, rakan media, rakan menteri, kariah penduduk, NGO, alumni, kampung halaman, budak-budak tua dan sudah tentulah kumpulan-kumpulan politik.

Kadang-kadang ada grup yang kita tak kenal tiba-tiba jemput kita ma­suk tanpa pengetahuan kita. Tengok nama admin yang jemput itu pun tak tersenarai dalam nombor telefon kita. Maka itu, kita pun tarik dirilah.

Tapi yang paling panas bersembang, mengutuk orang ini dan orang itu adalah grup politik. Mereka mengata orang ini dan orang itu seolah-olah mereka yang hebat dan maha mengetahui segalanya.

Sebagai orang media profesional, rata-rata makluman itu hanyalah potong dan tampal dan mereka akan berdebat-debat. Melihatkan fakta itu, saya tahu ada unsur-unsur fitnah dan tidak tepat. Jika dipakai di surat khabar sudah pasti kena saman.

Jangan terkejut ada yang berdebat itu bukan calang-calang orang – daripada Dr., prof., profesional sehinggalah kepada orang bergelar tertinggi. Ada yang melontarkan fakta yang dia sendiri pun tak yakin kebenarannya dan me­minta diulas oleh orang lain. Yang cuba menidakkan fakta itu (sudah tentulah dia yang cukup taat setia dengan pemimpinnya) akan bermati-matian menafikan fakta itu.

Bahasa-bahasa yang digunakan oleh orang “bijak-pandai” ini akhirnya menjadi yang bukan-bukan, bodoh, celaka, bahlul dan pelbagai lagi kata-kata kesat dan carut.

Saya ambil pendekatan sebagai pemerhati. Biarlah “cerdik-pandai” itu meneruskan hujahan mereka dari pagi masuk tengah hari, petang sehingga malam. Ada yang menjangkau lepas tengah malam. Jika ada masa saya akan ikuti secara senyap-senyap.

Mereka ini cukup istiqomah. Istilah Islam yang kini sering dipergunakan.

Saya membaca pemikiran mereka. Ada tiga pihak di sini. Satu terlalu benci, satu terlalu taksub dan tak komen hanya memerhati. Yang membenci itu menganalisis sesuatu fakta mengikut kalbu mereka, dan kemudian bertanya dengan si taksub itu dan meminta me­nyetujuinya. Maka sudah tentulah si taksub akan berkata itu tak betul. Maka berulang-ulanglah pertikaman mesej-mesej pendek itu.Mungkin juga kerana kuasa WhatsApp ini maka jualan akhbar ini semakin merosot. Akhbar bukan lagi kegemaran mereka. WhatsApp ada respons-respons segera yang merangsang naluri mereka. Naluri manusia jenis itu mahukan kelainan, mahukan jawapan yang cepat.

Akhbar memaparkan sesuatu yang mereka tidak boleh jawab balik. “Cerdik-pandai” ini mahukan jawapan segera. Malangnya, jawapan yang diberikan oleh si taksub itu gagal pun memuaskan hati mereka. Maka pertelingkahan di alam maya ini terus berlaku.

Tauke telco Celcom seperti Shazalli Ramly (Datuk Seri) pernah berkata kepada saya: “Aku tak guna WhatsApp. Kami berniaga SMS. Ia jana pendapatan kat syarikat. WhatsApp free… Kami rugi.”

Tapi dia tahu kuasa WhatsApp kepada masyarakat. Jika Facebook dan Twitter masih hebat, WhatsApp juga terus hebat.

Betul kata-kata Azman Ujang, cukup hebat pereka WhatsApp ini. Ia diperkenalkan pada 2009 oleh Brian Acton, budak Amerika dan Jan Koum, budak Ukraine kini warga Amerika. Kedua-duanya bekas pekerja Yahoo! Nak tahu lebih baca Wikipedia mengenai mereka.

Benar juga kebimbangan oleh Shazalli kerana pada awal Januari 2015, WhatsApp sudah ada 700 juta pengguna aktif sebulan dengan 30 bilion mesej dihantar setiap hari.

Pada April 2015, Forbes meramalkan antara 2012 dan 2018, industri telekomunikasi dunia akan kehilangan jumlah terkumpul sebanyak AS$386 bilion kerana perkhidmatan seperti WhatsApp dan Skype. Bulan itu WhatsApp telah berkembang kepada 800 juta pengguna aktif.

Itulah dunia media sekarang. Benar kata guru komunikasi Marshall McLuhan semasa mencipta teori komunikasi dan menulis buku Understanding Media: Extensions of Man, 52 tahun lalu pada 1964:

Petikannya yang tersohor: The medium is the message (Medium itu mesej). Ia membawa maksud medium itu ialah WhatsApp yang kita ada sekarang dan telefon pintar yang kita pegang sekarang. Medium ialah perkakasan.

Dengan erti kata lain mesej atau berita atau makluman tiada makna tanpa medium atau perantara itu.

WhatsApp dan sosial media sekaranglah yang akan mengubah perlakuan, kelakuan dan budaya hidup manusia. Kita tak tau apa lagi selepas ini, 10 tahun dari sekarang atau menjangkaui kita nanti.

Pendekatan orang politik pun harus berubah. Pengkajian sains politik sekarang harus mengambil kira revolusi media ini. Media yang akan mencorakkan perlakuan dan tindak-tanduk strategi politik.

Teori McLuhan itu selepas 52 tahun cukup relevan. Hari ini tulisan ini ditulis atas skrin telefon iPhone saya ini — menggunakan dua ibu jari saya. Ia sudah menjangkaui komputer peribadi PC. IPhone saya adalah pejabat saya. Ia adalah medium! Ia adakah dunia. Medium ini amat berbahaya daripada gelombang manusia di jalanan.

Nota Kaki: Oleh kerana ini adalah tulisan pojok maka ada ejaan, sebutan, gelaran tidak mengikuti norma berita biasa dan bahasa Melayu – Penulis)

Leave a Comment

Your email address will not be published.