Sunghoo berusia 23 tahun, pernah menjalani kerahan tenaga sebagai Tentera Laut (Pengawal Pantai) selama dua tahun. Latihan khidmat negaranya bermula selepas tahun pertama di universiti.

Cukup berdisiplin dan amat bersopan-santun. Selepas makan di sebuah restoran dia terbiasa membersihkan meja itu. Kami tersipu-sipu.

Saya membawa dia berbuka puasa bersama keluarga saya dan melihat kemeriahan sambutan Aidilfitri di negara ini.

Semasa kami bersembang-­sembang, dia membelek-belek sesuatu dalam telefonnya. “Selamatkah negara ini?”

Saya agak tergamam. Mengapa? Tanya saya. Dia kata pengganas IS. Dalam artikel Korea yang dibaca mengatakan Malaysia adalah an­tara pusat gerakan militan IS yang kononnya mahu mewujudkan negara Islam.

Maknanya, negara ini kurang selamat dan bila-bila bom boleh meletup.

Artikel itu mengaitkan kejadian membaling granit di Puchong dengan gerakan militan IS.

Saya kata memang ada unsur-unsur tersebut, walaupun kejadian di Puchong itu lebih kepada serangan kumpulan samseng.

Kata Sunghoo, sebelum datang ke program pertukaran ini dia menghafal beberapa ayat al-Quran.

Saya lebih tergamam dan se­di­kit teruja. Saya tanya lagi mengapa?

Dia kata sekiranya ditangkap maka dia boleh memberi ungkapan-ungkapan Islamik tersebut.

Saya kagum dengan perse­diaannya.

Saya kata cuba baca: Dia menyebut “Assalamualaikum; Alhamdulillah; Bismillah; Allahuakbar…”

Memang ancaman IS ini sudah menjadi satu fenomena. Ia amat serius dan bukan main-main. Atau sebaliknya ancaman itu telah menyebabkan ada orang mahu belajar mengenai Islam?

Ramai juga umat Islam di Malaysia yang terpengaruh dengan gerakan itu atas nama Islam.

Mereka ke Syria untuk terbabit dalam ‘perjuangan’ menentang taghut, kemungkaran dan mahu membangunkan negara Islam, kononnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas D8 Bukit Aman, SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu satu forum, kewujudan IS ini adalah nyata.

“Ia cukup berbahaya”. Beliau menayangkan video di forum itu bagaimana militan IS menyembelih tawanannya seperti menyembelih haiwan. Membakar hidup-hidup dan melemaskan dalam air. Hairan juga kita mengapa militan IS menunjukkan kekejaman tahap tertinggi itu kepada dunia?

Ayob berkata, “Ini bukan filem Hollywood, tapi amat nyata”. Orang Melayu Islam kita menuduh video itu dilakonkan dan menafikan IS tidak sekejam itu.

Orang Melayu Islam masih menaruh simpati kepada militan IS dan mengatakan mereka berjuang untuk daulah Islamiah.

Yang hairannya, militan IS setakat ini menyerang dan memusnahkan negara-negara Islam yang kononnya penuh dengan kemungkaran.

Tiba-tiba pagi ini saya mendapat berita Madinah digegarkan dengan bom kereta. Ia berlaku berdekatan dengan Masjid Nabawi, masjid tersuci bagi umat Islam. Jumlah kematian belum diketahui. Ya Allah selamatkan para jemaah umrah yang cukup ramai pada masa ini.

Persoalannya, mengapa mahu dibom di situ sekiranya perjuang­an mereka dikatakan untuk Islam? Apakah mereka ini terlalu Islam daripada kita semua ini yang Islam. Atau sekadar taksub dan kebencian di hati?

Apakah mereka ini lebih Islam akidahnya daripada Islam yang lain?

Siapa di belakang mereka? Ramai yang menuduh Israel di belakang militan IS yang cuba meng­huru-harakan negara Islam dan mengelirukan pemikiran umat Islam.

Benarkah Netanyahu pernah mengaku tentera Israel juga terbabit dalam ISIS? Baca di sini: http://www.makewarshistory.co.uk/?p=1801

Jika kita setuju Israel di belakangnya mengapa umat Islam kita masih terpengaruh dan terus ke Syria untuk berperang?

Tapi Sunghoo berkata dia percaya bahawa bukan semua yang mengaku militan IS itu adalah Islam. Mereka melaung Allahuakbar, tapi mereka bukan Islam, kata Sunghoo.

Persoalannya, mengapa begitu mudah umat Islam kita terpengaruh dengan unsur-unsur ini. Adakah melalui tindakan sebegitu sahaja mereka akan masuk syurga?

Apakah mereka ini mahu menjadi Islam, lebih daripada orang Islam yang lain.

Mengapa juga umat Islam Me­layu kita kini berpendirian be­rubah-ubah dan terpengaruh de­­ngan pelbagai amalan dan pendekatan yang semakin menular dalam masyarakat kita.

Adakah kita ini satu ma­sya­rakat yang suka terikut-ikut? Us­taz kata begini, beginilah, begitu, begitulah. Tahun lalu lain, tahun ini lain. Menolak amalan yang selama ini menjadikan kita satu ummah, dan kini sudah dikatakan tidak betul dan bidaah.

Di negara-negara Islam lain unsur-unsur itu telah bercambah sejak sekian lama sehingga mencetuskan kebencian antara mazhab itu dan ini, sampai sanggup membunuh dalam masjid – dibom, di­letupkan badan semasa yang lain sedang bersolat atau dipicu rambang dengan mesingan.

Kita belum lagi sampai ke tahap itu, namun jika tidak dibendung – nauzubillah, ia boleh sampai ke tahap itu.

Marilah terus jadikan Malaysia sebagai negara contoh Islam sedunia. Marilah kita kekal sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah berimamkan Shafie.

Kekhuatiran budak Sunghoo tadi harus dijadikan peringatan kepada kita semua. Barah peringkat awal masih boleh diselamatkan.

Sunghoo datang ke sini bukan kosong, tetapi dengan penyelidikan yang mendalam.

Mohon maaf sekiranya kisah ini mengganggu Aidilfitri kita semua.

Selamat Hari Raya Maaf, Zahir dan Batin.