Walaupun ada juga di negara-negara maju tetapi tidak seperti negara miskin dan negara sedang membangun se­perti kita. Di negara kita, rasuah menjalar dari organisasi ke organisasi, syarikat ke syarikat. Ia sering membabitkan pegawai-pegawai dari bawah sehingga ke atas.

Ia juga membabitkan anggota penguatkuasaan dan juga keselamatan. Itu pasal ia harus dihapuskan kerana akibatnya amat merosakkan. Mereka ini duri dalam daging; gunting dalam lipatan; musang berbulu ayam.

Ada juga rasuah membabitkan transaksi yang boleh merosakkan organisasi itu sendiri. Orang dalam sendiri terbabit dalam perniagaan yang kadang-kala konflik pula de­ngan perniagaan syarikat tempat dia mencari makan.

Macam-macam hal boleh berlaku. Kerana ketamakan dan mahu kaya cepat, soal halal haram diketepikan. Yang me­rana ialah syarikat berkenaan. Yang merana ialah kakitangan syarikat itu, yang mengharapkan belas ihsan daripada majikannya untuk mereka terus hidup.

Tetapi ingatlah jangan anggap orang tidak nampak perbuatan anda. Jangan anggap anak-anak buah tidak bercakap mengenai perbuatan rasuah laknatullah yang anda lakukan. Jika tidak malu dengan manusia, malulah dengan Allah SWT.

Saya juga mengalirkan air mata sebak membaca ucapan perpisahan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull baru-baru ini.

Kebetulan juga saya ada bertemu beliau di satu majlis sebelum itu. Karakter beliau amat lembut, tetapi keras dalam pekerjaannya.

Shukri mengambil kesempatan mengingatkan anggota SPRM supaya menjalankan tanggungjawab dengan berani demi melawan barah rasuah di dalam negara.

“Kepada anak buahku, buatlah kerja dengan betul tanpa rasa takut dan gentar kerana di SPRM bukanlah tempat untuk pegawai-pegawai yang kecut, penakut dan gentar.

“Peliharalah kebebasan SPRM mencegah rasuah, bukan satu kerja yang mudah, banyak cabaran dan dugaan, hadapilah rintangan ini dengan penuh cekal dan tabah,” kata­nya yang membuatkan dewan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya itu menjadi suram.

Ketika ucapan itu, kedengar­an esakan kakitangan SPRM sambil tunduk dan mengelap air mata.

Shukri bakal meninggalkan suruhanjaya itu bersama dua lagi pegawai kanan suruhanjaya itu, iaitu rakan sejawatnya Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali dan ketua pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dalam ucapan itu Shukri turut memberi nasihat kepada ahli politik, hakim dan pegawai-pegawainya supaya jujur dalam menjalankan tugas kerana akhirnya mereka akan me­nerima hukuman di akhirat.

“Nasihat saya, kepada para hakim jatuhkanlah hukuman seadil-adilnya kepada semua pihak, siapa pun terlibat kerana satu hari nanti kita akan bertemu Hakim yang adil, yang akan jatuhkan hukuman pada kita.

“Pada waktu itu semua termasuk saya akan jadi saksi terhadap diri kita sendiri, menjadi peguam bela ke atas diri kita. Sesungguhnya hukuman itu akan menjadi hukuman yang paling adil berdasarkan apa yang kita lakukan di muka bumi.

“Kepada orang-orang politik, menteri-menteri, wakil-wakil rakyat dan sesiapa sahaja yang dalam politik, ingatlah tuan-tuan di atas sana kerana rakyat.

“Utamakan rakyat, berkhid­matlah dengan seikhlas hati dan penuh berintegriti, ingatlah satu hari nanti rakyat akan jadi saksi bila bertemu Pencipta kita.

“Pada masa itu tidak ada jawatan, tidak ada pengaruh, tidak ada konspirasi, tidak ada kuasa yang boleh membantu tuan-tuan untuk mengubah keputusan yang telah dibuat oleh Pencipta kita,” katanya dengan nada sebak.

Amat benar kata-katanya, takutlah kepada Allah kerana kita hidup bukan pun panjang.

Marilah kita bermuhasabah diri atas perbuatan rasuah yang kita lakukan. Mungkin kita tidak sedar apa yang kita lakukan kerana sudah terbiasa mungkin?

Tetapi mata-mata di sekeli­ling anda sedar. Jangan takut wahai mata-mata sekalian, jika benar berlakunya rasuah di sekeliling anda, jangan disembunyikan kerana jika disembunyikan maka anda juga adalah perasuah. Itu adalah rasuah antara anda dan sang Pencipta yang akan anda hadapi semasa mati kelak.

Semua orang akan mati. I­ngatlah.