Cuit Zaini Hassan

Afiq, Thayiebah: Dari Baling ke Kolej Epsom

 

BAGAIKAN bermimpi berada di dunia lain…

Itulah yang dirasakan dua pelajar, Muhammad Afiq Amir Muhammad Fauzi dan Nur Thayiebah Hamdan, masing-masing berusia 13 tahun yang dipilih memasuki Epsom College, sebuah sekolah antarabangsa United King­dom cawangan Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Kedua-dua pelajar ini adalah anak kepada penoreh getah dan berasal dari Baling, Kedah.

Muhammad Afiq tinggal di Kampung Bawah Gunung ma­nakala Thayiebah di Kampung Siput.

Afiq agak pendiam dan teragak-agak bercakap dalam bahasa Inggeris.

Soalan pertama yang diajukan kepada kenalannya di kolej itu ialah apakah nama awak, adakah awak Islam dan bersolat?

Dia bertanyakan soalan itu kerana suasana di sekolah itu dan di sekolahnya di Baling adalah 360 darjah asing. Bukan sekolah saja berbeza, para pelajarnya pun berbeza.

Antara langit dengan bumi. Antara dua darjat — perbezaan yang dilihatnya.

Mereka mendaftar masuk ke kolej itu pada 1 September lalu. Dan semasa wawancara ini dibuat mereka sudah berada di situ selama seminggu. Sistem pembelajaran di situ ialah sistem pendidikan British untuk peperiksaan O Level dan A Level.

Menurut Afiq, dia mengajukan soalan-soalan itu bagi memudahkannya untuk mendapat kawan.

Dia takut dan gementar untuk berkomunikasi kerana tidak seorang pun yang dia kenal ketika melangkah masuk ke kolej itu, tambahan penguasaan bahasa Inggerisnya agak lemah.

“Saya hanya mengekori ke mana juga dua kawan saya pergi. Mereka ialah Fawas pelajar tahun tujuh dan Danial tahun 13.

Mereka banyak membantu menterjemah setiap kali saya tidak memahami bahasa Inggeris.

“Seorang guru Melayu yang mengajar di kelas persediaan juga menjadi mentor saya,” kata Afiq yang ditemui di Epsom College.

Bercita-cita menjadi ahli farmasi, Afiq yang memperolehi keputusan UPSR 4A1C, C untuk Bahasa Inggeris memasang azam untuk mengubah nasib keluarganya di masa hadapan.

Sebagai langkah awal, dia berjanji untuk berada dalam kala­ngan 10 pelajar terbaik kelasnya dalam masa terdekat.

Anak bongsu kepada orang tuanya penoreh getah berusia 48 tahun itu, bagaimanapun sedang menyesuaikan diri tinggal sebilik dengan dua rakan dari Malaysia dan dua dari Jepun.

Kedua-dua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Baling itu terpilih memasuki Epsom College, selepas berjaya menjalani ujian kelayakan kemasukan.

Mereka ialah penerima biasiswa Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) di bawah kelolaan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Syarikat penerbangan AirAsia menerusi TP1B membiayai kos pembelajaran mereka sepanjang berada di Epsom College sehingga ke peringkat A Level (STPM) atau tahun 13.

Nur Thayiebah, anak ketiga daripada lima beradik pula bercita-cita menjadi doktor kanak-kanak dan berazam untuk muncul sebagai 10 pelajar terbaik tahun hadapan. Dia memperoleh 4A1B, B untuk Sains.

“Pada hari pertama (1 September 2016) masuk di sini, saya merasa sedih kerana berada jauh daripada keluarga tetapi berbangga kerana terpilih memasuki kolej yang pelajarnya terdiri daripada pelbagai bangsa dari dalam dan luar negara.

“Saya merasa seperti berada di dunia lain kerana tidak ada kawan ketika memasuki kolej ini.

“Tapi ada beberapa “kakak Melayu” di samping pelajar dari Jepun dan Korea memberi perangsang dan semangat untuk saya menyesuaikan diri dengan keadaan baharu di sini,” katanya. Bapanya Hamdan, 41, ialah bekas anggota tentera berpangkat Ko­peral.

Menurut Thayiebah, dia semakin menyukai sistem pem­belajaran di kolej itu kerana masa sentiasa diisi dengan aktiviti berfaedah seperti menjahit, meng­anggotai kelab buku dan seni di samping menyertai acara larian.

Thayiebah juga memberitahu, sistem pembelajaran di situ lebih terbuka di mana selain bahasa Inggeris, pelajar juga perlu mempelajari bahasa lain antaranya Perancis.

Sementara itu Pengurus Projek Pendidikan TP1B, Datin Seri Azlina Ahmad berkata, pemilihan pelajar memasuki Epsom College itu berdasarkan dua kategori iaitu daripada keluarga miskin bandar dan miskin luar bandar di sam­ping lulus ujian kemasukan.

Terdahulu pihak TP1B kata­nya, telah menulis surat kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kedah dan Selangor untuk mendapatkan calon-calon yang layak.

Sebanyak 15 pelajar telah ditemuduga dan daripada jumlah itu hanya dua terpilih.

Menurut beliau, AirAsia adalah antara syarikat yang menyumbang kepada TP1B dalam bentuk kewangan di samping membiayai pembelajaran dua pelajar di Epsom College dari tahun 13 hingga A Level.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan Pengajian Bahasa Ing­geris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) UiTM, Dr. Leele Susana Jamian pula memberitahu, pihak­nya mengadaptasi kertas-kertas peperiksaan tahun 12 di Singapura dan Britain sebagai kayu peng­ukur untuk ujian kemasukan ke Epsom College.

Menurut Leele, pihaknya memilih pelajar yang serba boleh (all rounder) di samping pendapatan keluarga RM1,500 sebulan.

Beliau yang juga pakar perun­ding Bahasa Inggeris menambah, dalam ujian itu pelajar bukan hanya dinilai dari aspek kepintar­an malah turut menekankan aspek pembangunan kendiri seimbang.

Kedua-dua pelajar tersebut terpilih jelasnya, kerana mempunyai keazaman yang tinggi untuk belajar, berjaya dan seterusnya mampu berdikari dalam apa jua keadaan.

Akhir sekali kita berharap kedua-dua anak, yang kebetulan dari daerah Baling ini beroleh kejayaan dalam hidup.

Ini adalah amal jariah yang diberikan oleh para alumni UiTM kepada anak-anak bangsa menerusi yayasan Tabung Pendidikan 1 Bilion ini.

 

Nota: Penulis juga ialah Timbalan Pengerusi TP1B yang juga Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM)

1 Comment

  1. Pingback: Pelajar Tajaan TP1B, Muhammad Afiq Amir Terima Anugerah Epsom College in Malaysia | Persatuan Alumni UITM Malaysia (PAUITM)

Leave a Comment

Your email address will not be published.