Cuit Zaini Hassan

Imigresen Oh Imigresen dan Syabas UTC!

 

BEBERAPA hari lalu saya ada memuat naik satu tulisan bersahaja mengenai perkhidmatan imigresen di facebook saya.

Ia berdasarkan pengalaman sendiri selama dua hari gagal memperbaharui pasport dua orang anak saya.

Mungkin kebetulan pasport mereka akan tamat 30 Disember ini dan kebetulan sekarang ialah musim cuti dan kebetulan saya berurusan pada hari Jumaat membawa ke hari Sabtu di hujung minggu.

Maka senario yang berlaku ialah kesesakan besar di pejabat imigresen cawangan Shah Alam (di mana itulah kariah saya sejak puluhan tahun lalu dan di situlah pejabat imigresen yang selama ini begitu efisien perkhidmatannya kepada saya — sama ada memperbaharui pasport atau urusan pembantu rumah).

Hari pertama gagal mendapatkan nombor — pagi dan petang — saya ke cawangan imigresen terdekat Shah Alam di Kelana Jaya.

Di situ lagi hebat. Sesampainya saya dan anak-anak jam 8 pagi, saya melihat satu permandangan yang luar biasa apabila ratusan rakyat beratur panjang sehingga 200 meter, memanjang di luar pejabat itu.

Sebagai naluri seorang wartawan hampir tiga dekad saya mengambil gambar-gambar itu dan memuatkan ke media sosial saya.

Saya melihat wajah-wajah mereka yang beratur itu. Tenang, tapi kelihatan kecewa, keletihan, kelaparan mungkin kerana belum bersarapan, kebingungan dan macam-macam lagi. Saya suruh anak saya beratur di barisan paling akhir sekali.

Kemudian saya membuat ‘tinjauan’ (istilah yang kami guna dalam bilik berita). Saya mendapati semua yang beratur itu mahu mengambil nombor giliran atau pun yang sudah pun mendapat nombor giliran dan mahu membuat urusan.

Pada tinjauan itu saya tidak melihat (pada waktu itu) pegawai-pegawai imigresen keluar dengan pembesar suara menjelaskan apa yang berlaku. Yang saya lihat pengawal-pengawal keselamatan swasta mengawal pintu masuk.

Saya tidak pasti apakah itu adalah pemandangan biasa setiap hari atau setiap minggu, jika bukan, maka imigresen kena jelaskan mengapa berlaku suasana luar biasa itu kepada para pelanggan mereka?

Letakkan juga papan tanda di luar pejabat mengatakan berlaku komputer offline dan mencadangkan orang ramai ke cawangan-cawangan lain berdekatan atau ke Pusat Transformasi Bandar (UTC), yang rata-rata penduduk sekitar Shah Alam atau Kelana Jaya tidak terfikir kewujudannya.

Akibat keadaan yang tak terkawal di pejabat Kelana Jaya, saya meminta anak-anak saya keluar barisan dan kita cuba pergi ke ibu pejabat imigresen di Putrajaya. Saya beranggapan jika pejabat cawangan buka, maka ibu pejabat pun buka. Mungkin di situ kemudahan lebih besar, angan-angan saya?

Ketika itu saya masih tidak terfikirkan UTC sama ada di Sentul, Keramat atau di Puduraya. Apabila tiba di Putrajaya, didapati ia tutup dan hanya beroperasi dari Isnin-Jumaat sahaja.

Terus terang saya katakan, saya tidak terfikirkan pun kemudahan UTC, kerana saya adalah penduduk Shah Alam dan jarang berurusan dengan UTC.

Hanya pada hari Ahad, anak saya mengajak saya pergi ke UTC Puduraya. Saya tanya bukakah hari Ahad? Dia kata setelah melihat internet ia buka sehingga pukul 10 malam.

Tidak disangka-sangka posting saya mengenai kisah itu difacebook telah menjadi riuh rendah. Ada yang menyokong saya, ada yang menghentam saya.

Tapi alhamdulillah, banyak pengajaran daripada kisah itu.

Sekurang-kurangnya ia membawa saya ke UTC dan urusan anak-anak saya selesai dalam tempoh empat jam sahaja.

Tahniah dan syabas UTC Puduraya yang bertugas pada hari Ahad (18 Disember) sehingga jam 10 malam — dengan begitu dedikasi sekali!

Terima kasih juga kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali yang respons kepada kisah itu.

Sebenarnya banyak pengajaran daripada kisah pengalaman dua hari itu yang dipaparkan di muka buku itu.

Soal komunikasi antara manusia adalah amat penting. Ia boleh diselesaikan dengan mudah sahaja.

Penyelesaiannya ada, cuma kena bising sedikitlah…

 

(Nota Penulis: Mohon jutaan maaf kepada pembaca setia Cuit yang bertanya ke mana menghilang kolum ini? Insyaallah ia akan ditulis selagi tiada aral melintang!)

Leave a Comment

Your email address will not be published.