Cuit Zaini Hassan

GPMS Tidak Setuju Longgar Syarat Bahasa Bagi Pegawai Perubatan KKM

KENYATAAN MEDIA GPMS

‎السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

SALAM SEJAHTERA

GPMS Tidak Setuju Kelonggaran Kelulusan Subjek Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bagi Tujuan Lantikan Kontrak Pegawai Perubatan UD41 di Kementerian Kesihatan Malaysia

oleh

GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)
2 JULAI 2017 / 8 SYAWAL 1438

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 2 Julai 2017, yang bertajuk “Kelonggaran Syarat Lulus Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia bagi tujuan lantikan secara kontrak pegawai perubatan UD41 di Kementerian Kesihatan,
GPMS tidak bersetuju dengan kelonggaran yang diberikan. GPMS berpendapat, sewajarnya syarat kelulusan Bahasa Melayu dalam SPM juga dikuatkuasakan kepada semua doktor lantikan KKM, tanpa mengira status kontrak atau tetap.

Bidang perubatan merupakan sebuah bidang kritikal yang berkait rapat dengan aspek komunikasi interpersonal yang efektif, bukan semata-mata bergantung pada ketinggian IQ dan ijazah perubatan seseorang doktor sahaja. Melalui komunikasi berkesanlah pengamal perubatan dapat memberikan diagnosis yang tepat dan jitu akan kondisi yang dialami oleh pesakit,lantas memberikan rawatan yang bertepatan.

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan kita, yang sewajarnya dihormati, didaulatkan dan dijadikan bahasa pengantara dalam pelbagai disiplin ilmu, sesuai dengan Artikel 152 Perlembagaan Malaysia.
Bahasa jugalah wadah yang kita andalkan dalam kerangka memupuk integrasi nasional dalam konteks masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara kita.

Apakah kita mahu satu hari nanti generasi kita dirawat oleh para doktor yang tidak kompeten berbahasa kebangsaan dengan baik? GPMS sedia maklum bahawa penguasaan terhadap Bahasa Inggeris dalam masyarakat awam kian meningkat dari masa ke semasa, namun begitu bagaimana pula dengan golongan rakyat marhaen yang berpendapatan rendah, tidak berpendidikan tinggi dan tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik? Bagaimana mungkin seorang doktor yang tidak fasih berbahasa Melayu dapat berfungsi dengan baik seandainya beliau dihantar ke hospital daerah atau klinik kerajaan luar bandar yang rata-rata penduduknya berbahasa Melayu?

GPMS melihat kelonggaran yang diberikan ini sebagai bibit permulaan kepada kelonggaran-kelonggaran yang lainnya yang mungkin sekali bakal dipinta dan dipinda di masa akan datang.
Tidak ada negara di dalam dunia ini yang tidak mewajibkan individu yang ingin menetap dan bekerja di negaranya untuk menguasai bahasa kebangsaan negara tersebut.
Manakala Sijil Pelajaran Malaysia pula merupakan tolok ukur kebangsaan bagi menilai kompetensi minimum pelajar dan individu terhadap subjek yang diambil.

Namun begitu, GPMS juga mengusulkan supaya prosedur menduduki semula kertas peperiksaan Bahasa Melayu ini dipermudahkan buat para doktor yang akan mendudukinya. GPMS sedia maklum akan rutin dunia perubatan yang serba sibuk dan mencabar,juga menuntut sepenuh konsentrasi dalam jam kerja yang panjang, justeru itu GPMS menyarankan supaya diadakan peperiksaan khusus kertas Bahasa Melayu diadakan untuk para doktor yang bakal dilantik secara kontrak, sebelum mereka diserapkan ke dalam perkhidmatan kerajaan. Dengan cara ini GPMS percaya kita mampu mewujudkan situasi menang-menang, juga tiada alasan bakal doktor untuk tidak menduduki peperiksaan wajib ini.

GPMS menyeru pihak KKM untuk lebih bertegas di dalam isu ini,demi memartabatkan maruah bahasa kebangsaan kita, juga membina generasi pengamal perubatan yang mahir bertutur dalam bahasa kebangsaan.
Kerana kualiti bidang perubatan bukanlah semata-mata bergantung pada kecanggihan alatan teknologinya, tetapi juga bergantung pada kecemerlangan berkomunikasi dan personaliti pengamal perubatannya.

Salam hormat,
Dr Mohamad Erhan Rahimi
Pengerusi Biro Kesihatan GPMS

Leave a Comment

Your email address will not be published.