Cuit Zaini Hassan

Ayuh bangkit pertahankan bahasa Malaysia!

SAYA bukanlah pejuang bahasa Melayu. Namun saya amat percaya setiap negara di dunia ini ada bahasa rasmi ibundanya sendiri.

Sungguh malanglah sekiranya anak-anak negara itu tidak boleh bertutur dengan lancar dalam bahasa ibunda negara mereka sendiri.

Bahasa digambarkan sebagai jiwa bangsa itu. Jatidiri sesuatu bangsa adalah bahasa itu sendiri.

Dalam konteks watan Malaysia ini, bahasa rasmi kebangsaannya ialah bahasa Malaysia yang berteraskan bahasa Melayu.

Jika anak bangsa Malaysia gagal menguasai bahasa itu, maka sesuatu yang serius telah berlaku dalam sistem kenegaraan negara itu sendiri.

Di Indonesia, Thailand, Filipina misalnya boleh dikatakan 100 peratus rakyatnya boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan negara itu – dengan baik, walaupun mereka dari suku kaum, etnik atau keturunan yang berbeza daripada bumiputera negara itu.

Mengapa saya mengambil contoh tiga negara itu, kerana negara-negara itu juga mempunyai rakyat yang berbilang kaum.

Malah di Thailand dan Indonesia nama bagi bangsa bukan bumiputera juga telah dibumiputerakan bagi menggamvarkan identiti negara itu. Itu dilakukan semasa pembentukan negara itu melalui iltizam politik yang kuat, bukan secara tolak-ansur, macam kita.

Namun di watan Malaysia ini, suasana dan keadaannya amat unik sekali.  Bukan semua kaumnya boleh bertutur dalam bahasa rasmi Malaysia dengan baik.

Ada yang bercakap mengikut pelat kaum masing-masing, ada yang menggunakan bahasa pasar, bahasa rojak; dan ada yang tidak tahu bercakap langsung dalam bahasa rasmi negara sendiri.

Masing-masing kaum cuba sedaya upaya mempertahankan bahasa ibunda masing-masing. Boleh berperang dan kalah pilihan raya jika perkara itu disanggah!

Unik bukan? Unik kerana walaupun kedaulatan bahasa kebangsaan itu disebut dalam Perkara 152 Perlembagan Persekutuan, tapi ada rakyatnya tidak boleh bertutur bahasa itu, malah ada yang enggan bertutur dalam bahasa itu.

Terbaharu syarat wajib lulus Bahasa Malaysia untuk menjawat jawatan dalam pekerjaan di sektor kerajaan mulai diberi kelonggaran.

Benarkah?

Adakah bahasa Melayu tidak penting lagi sehingga Kementerian Kesihatan dengan bangganya mengumumkan telah menggugurkan syarat SPM Bahasa Melayu untuk menjadi doktor dalam perkhidmatan kerajaan?

Hebatlah kita ini. Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tiang seri negara pun sanggup diremehkan.

Persoalannya mengapa pengecualian itu diberikan. Benarlah hujahan saya di atas ada sekumpulan rakyat kita yang tidak suka bertutur atau selesa bercakap dalam bahasa Melayu.

Mereka merasa martabat mereka jatuh jika bercakap dalam bahasa itu. Mereka terasa terhina berucap dalam bahasa itu kerana “tidak setaraf” bahasa Inggeris.

Semalam semasa menghadiri satu majlis perkahwinan di Kuala Lumpur, saya duduk semeja dengan Pak Engku, bekas peguam yang pernah memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu dalam mahkamah satu ketika dulu dan pengamal seni Melayu Prof Dr Ismail Abdullah.

Pada ketika perbincangan ini berlangsung, isu kenyataan Kementerian Kesihatan ini belum timbul lagi.

Dalam sembang itu, Pak Engku berkata:

“Isu bahasa ini sudah menjadi  sukar di negara kita. Orang tak hormat dengan bahasa Melayu.”

Prof Ismail: “Macam mana boleh jadi macam ini?”

Saya: “Sistem pendidikan kita yang gagal. Tiada tumpuan kepada sistem pendidikan kebangsaan sepenuhnya.”

Pak Engku: “Gagal kita ini”

Prof Ismail kelihatan menarik nafas panjang.

Saya: “Kita sudah gagal selama 60 tahun. Sukar untuk diputar semula. Jika nak putar semua, mungkin akan berlaku perang saudara…”

Kita semua ketawa. Dengan satu renungan yang panjang.

Tiba-tiba malam tadi, saya menerima panggilan daripada seorang bekas Profesor Datuk Dr, pengamal perubatan yang menghubungi saya bertubi-tubi, tetapi terputus.

Dia sedang bercuti raya di Tanah Merah, Kelantan dan talian tidak begitu baik.

Akhirnya kami dapat bercakap.

“Zaini, apa dah jadi dengan negara kita ini. Saudara bacakah dalam The Star hari ini bahawa Kementerian Kesihatan mahu mengecualikan syarat bahasa Melayu bagi jawatan doktor perubatan.”

Beliau yang juga merupakan doktor pakar pergigian mengucap beberapa kali.

Ternyata perasaaanya berkecamuk oleh soal bahasa ini.

Bahasa adalah jiwa bangsa. Bahasa Melayu itu adalah bahasa bagi rakyat Malaysia.

Sepatutnya isu bahasa tidak diperkotak-katikkan lagi. Ia sudah jadi sebahagian daripada diri kita ini.

Yang perlu dilakukan ialah untuk memperjasakannya sahaja. Kita sedar ramai rakyat kita yang memandang rendah soal bahasa Melayu, namun usaha harus diteruskan.

Fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mandom dan tidak bermaya sekarang harus dikeraskan.

Semangat DBP era 70-an harus dikembalikan. Kempen-kempen perlu dipergiatkan. Sekarang apabila melalui jalan berhampiran DBP, kita melangit jauh melihat menaranya dengan perasaan yang kosong!

Oleh itu bangkitkan semua rakyat Malaysia yang sayangkan bahasa Melayu.

Perkara 151 dan 152 dengan jelas menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu wajib dalam semua urusan kerajaan.

Itu tidak perlu dipertikaikan lagi. Saya tidak mahu memperkatakan bahawa jika hina bahasa Melayu bererti menghina bangsa Melayu, kerana sepatutnya bahasa itu sudah menjadi bahasa untuk semua rakyat Malaysia.

Itu bahasa rakyat Malaysia. Jika dihina bahasa itu bermakna diri kita sendiri dihina, tanpa mengira kaum lagi.

Kecualilah jika kita tidak hormat dengan bahasa watan itu!

Yang jelas saya menerima satu whatsapp daripada seorang setiausaha politik seorang menteri kabinet:

“Isu Kementerian Kesihatan ini jelas melanggar Perkara 152 penggunaan bahasa Melayu dalam institusi kerajaan… ini kata orang Melayu di akar umbi.

Kata beliau lagi: “Kalau lantikan secara kontrak pun, apa salahnya kenakan BM sebagai syarat… sebagai mengiktiraf bahasa itu di hospital-hospital kerajaan?”

Satu lagi whatsapp daripada pemimpin sebuah pertubuhan ultra Melayu, Perkasa.

Datuk Ibrahim Ali:  “Bukankah dari dulu wajib ada kredit BM nak kerja kerajaan. Anak-anak diplomat kita tidak terkecuali syarat ini bagi yang belajar di international school. Kenapa mesti doktor India dan Cina dikecualikan?

“Bagaimana Kementerian Kesihatan boleh kecualikan BM. Masakan Menteri Kesihatan yang kebetulan Presiden MIC boleh mengatasi Kerajaan (JPA & SPA)?

“Belum terlewat jika Perkasa nak bawa perkara ini ke tengah  – Bekerja dengan Kerajaan/Perkhidmatan Awam mesti lulus dengan Kredit BM,” kata Ibrahim.

Hubaya-hubaya jangan kita tersilap langkah lagi, 60 tahun itu lama untuk kita putar semula.

Akhirnya, jika sekali kita buka peluang ini maka bak kata pepatah Melayu Klasik takut nanti “diberi betis hendak paha”.

Jika itu berlaku, saudara tafsirlah sendiri.

Leave a Comment

Your email address will not be published.