Cuit Zaini Hassan

JANGAN NAFIKAN KUASA RAKYAT!

Oleh Zaini Hassan

INGATLAH kuasa Allah dan kuasa rakyat bukan kerja kita.

Kita telah saksikan di depan mata kita kerajaan BN-UMNO yang berkuasa selama kita hidup, akhirnya tersungkur.

Banyak pengajaran yang boleh kita belajar. Jangan pandang rendah kuasa yang berada dalam tangan kita.

Tidak perlu disogokkan dengan apa pun jika ia bertentangan dengan akal rakyat. Jangan dicabar rakyat. Jangan dibodoh-bodohkan rakyat. Jangan dimomok-momokkan rakyat Malaysia yang sudah cerdik.

Kita sudah menuju ke arah sebuah masyarakat Malaysia baharu yang matang. Proses maturing ini sudah berlaku sejak beberapa pilihan raya umum yang lalu, tapi kita membutakan mata dan memekakkan telinga.

Saya secara peribadi memerhati tingkah-laku ini dengan penuh sedih. Mereka tidak mahu berubah. Malah mereka terus menindas dan memijak-pijak hikmah akal rakyat.

Rakyat bukan bodoh, malah anak kita sendiri pun telah memberi petunjuk yang para pemimpin di atas itu harus berubah. Anak kita keliru, mereka berkata “apa dah jadi abah? Mengapa mereka jadi begitu?”

Janganlah kita salahkan media sosial atau perang media tapi kita salahkan diri sendiri.

Seorang Perdana Menteri yang tiada pendirian dan mengharapkan pendapat orang lain, maka hancurlah pemimpin itu.

Itu sudah terbukti. Ini bukan untuk mencari salah, tapi ini adalah hakikat. Janganlah kita ini terlalu sombong, bongkak, memandang rendah orang lain kerana hadnya akan tiba. Hukum alam akan memainkan peranannya.

Ya Allah kuasa Mu amat besar. Kami bersujud kepadaMu jua, kerana jika itulah yang Kau kehendaki maka berlakulah ia.

Sekarang rakyat Malaysia mahu membuka lembaran baru dalam perjalanan negara tercinta ini. Inilah Tanah Air kita. Inilah negara tumpah darah kita.

Apabila ada kawan yang sanggup meninggalkan negara ini, berhijrah ke negara lain kerana terlalu marah dengan proses perjalanan negara ini — maka sesuatu yang buruk pasti akan berlaku.

Apabila kita berkata bahawa kos sara hidup semakin membebankan rakyat, mereka memberikan seribu satu alasan untuk menolaknya. Mereka menafikannya.

Apabila kita kata jika GST tidak ditangani dengan betul, maka kerajaan boleh jatuh — mereka hanya pandang kita dengan sebelah mata sahaja.

Sebab itulah apabila anak-anak muda kita menyiarkan dalam media sosial masing-masing jari celup dakwat selepas pilihan raya, maka itu adalah petanda Gelombang Rakyat sedang berlaku.

Memang benar ia juga adalah Gelombang Melayu setelah kaum-kaum lain sudah bersedia 101 peratus untuk menolak kerajaan yang ada.

Malah kita bingung apabila di malam sebelum pembuangan undi curahan janji-janji manis ditabur lagi seolah-olah itulah yang rakyat inginkan. Saya hairan siapalah penasihat beliau yang memusnahkan tuannya dan sistem yang sudah terbina sejak 61 tahun tahun lalu.

Teori RAHMAN ternyata benar dengan izin Allah Taala jua.

Negara baharu Malaysia akan mengambil alih peranan seterusnya. Itu adalah kuasa rakyat. Jangan cuba dinafikan hakikat itu. Ilmu hakikat telah mengambil peranannya.

Oleh itu, jangan disia-siakan kehendak rakyat. Saya penuh yakin negara Malaysia akan terus makmur dan maju selepas ini. Soal integriti dan akauntabiliti tidak boleh dikompromi, walaupun 1001 kebaikan yang telah dilakukan.

Suara media akan lebih telus, terbuka selepas ini – tanpa dituding jari oleh sesiapa pun.

Maka itu, Ya Allah apa yang Kau hendakkan ini semuanya berhikmah.

Semuanya bersebab.

Ends.

NOTA:
Zaini Hassan ialah bekas kolumnis Cuit, yang kolum itu sudah ditutup setahun lalu, yang mereka sahaja ketahui niatnya.

4 Comments

  1. Syed

    Good one.

    Reply
  2. Konzo

    Good Job DZH.. Fakta n analysis tepat

    Reply
  3. Hamzah

    In sya Allah demokrasi sihat bermula dan akan subur di Malaysia kerana rakyat melalui PRU 14 buktikan mereka boleh berubah dan mengubah.

    KepadaMu kami pohon agar Malaysia terus aman, sejahtera dan makmur.

    Reply
  4. Ma

    Salam Datuk
    Memang sedih bila BN tewas akhirnya.Saya membesar dgn mengenal UMNO yang banyak jasanya pada orang melayu islam.

    Hakikat hidup,kuasa membutakan dan melalaikan manusia.UMNO dan BN perlu bangkit demi negara kerana Pakatan Harapan menang bukan kerana mereka hebat tetapi kerana BN lupa diri dan alpa.

    Sedih bila ruangan cuit cuit datuk ditiadakan.Saya peminat tegar ruangan Cuit kerana memaparkan pandangan@kritikan yang bernas tetapi cukup berlapik.Amat malang sekali bila pandangan dan kritikan positif dianggap suatu penentangan.

    Semoga Datuk sentiasa sihat dan terus menulis demi kebaikan kita semua.Semoga UITM tetap terus maju demi bangsa agama dan negara.Dap dah berkuasa Datuk, dan Anwar pula akan dibebaskan.Menakutkan bila memikirkan masa depan.Diharap kita tidak menjadi mangsa percaturan politik sekali lagi antara Dr M,Anwar dan Dap.20 tahun rakyat dan negara huru hara dan berpecah belah kerana mereka dan janganlah kita melalui roller coaster ride politik sekali lagi kerana kini anak anak mereka pula menjadi pengganti dalam arena politik dan rebutan kuasa.

    Harap Datuk aktif menulis semula demi bangsa agama dan negara.Pemerintahan Dap dan Pkr menakutkan saya Datuk. Minta aktifkan semula Cuit ya Datuk. Terima kasih Datuk dan semoga sihat selalu.Salam

    Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published.