Cuit Zaini Hassan

Satu sekolah untuk semua, cabaran untuk Dr Maszlee!

Oleh Zaini Hassan

SYABAS diucapkan kepada Dr Maszlee Malik yang mengangkat sumpah selaku Menteri Pendidikan dalam kerajaan baharu Malaysia pada Isnin 21 Mei 2018.

Tugas beliau cukup mencabar. Kementerian itu amat penting dalam membentuk rupa bangsa negara ini dalam acuan kerajaan baharu ini.

Sistem pelajaran negara harus stabil dan tidak boleh lagi diadu-domba berdasarkan ideologi dan idea menteri semata-mata. Kerana jika itu berlaku maka dasar pelajaran kita akan menjadi caca-marba dan rojak pasembur sebagaimana berlaku selama ini.

Menteri datang dan pergi, tetapi dasar pelajaran dan pendidikan negara harus mantap dan tidak boleh sewenang-wenangnya diubah dan dipinda mengikut acuan menteri.

Ia harus melalui satu proses yang diteliti oleh sebuah suruhanjaya yang dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan melalui proses Parlimen sahaja.

Apa yang boleh Dr Maszlee lakukan ialah dengan memantapkan dasar itu mengikut acuan sebenar Malaysia.

Jika kerajaan baharu ini mahu membentuk rakyat negara ini bersatu padu mengikut acuan bangsa yang satu maka inilah masanya menteri itu boleh melakukannya.

Walaupun ada cabaran daripada beberapa pihak yang meminta beliau menghapuskan sekolah-sekolah agama dan mata pelajaran agama di sekolah, ia haruslah dilakukan secara menyeluruh.

Jika itu mahu dilakukan, dasar-dasar lain juga harus dilakukan.

Seorang rakan saya, yang juga seorang CEO sebuah bank terkemuka meminta saya menyampaikan saranannya dalam tulisan ini.

Katanya dalam bahasa Inggeris:

“… may I suggest you write some thing about Education. How education can Unite us to be one Malaysia.
Start with abolishing all Chinese n Tamil schools, only Sekolah Kebangsaan is allowed.
All people to focus only on National Language i.e Bahasa Malaysia and English.
Start from Primary school now so as to have Future Malaysian Malaysia, it takes years for us to mold and harmonise the people… all equal.|
What say you? Write about it and Post it to the New Government that is perihatin and let see what they think and say about it.”

Ya, saya amat setuju dengan pendapat beliau itu. Itulah yang dilakukan oleh Singapura semasa ia keluar daripada Persekutuan Malaysia dahulu. Lee Kuan Yew menggunakan iltizam politiknya yang ternyata berjaya sehingga ke hari ini.

Sudah tiba masanya kerajaan baharu ini memikirkannya — jika itulah slogan mereka yang mahu melihat rakyat negara ini menjadi rakyat Malaysia sejati.

Tiada lagi sistem pendidikan yang pelbagai.

Mula dinasionalisasikan semua sekolah di negara ini.

Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sistem pendidikan sekolah yang pelbagai.

Selain sistem persekolahan kebangsaan (SK) yang merupakan sistem sekolah nasional, ia juga mempunyai sistem sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil; sekolah agama, sekolah swasta, sekolah antarabangsa — yang semuanya boleh diikuti oleh rakyat negara ini.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, sama ada rendah atau menengah adalah antara sekolah termaju di negara ini daripada segi prasarana, terutamanya di bandar-bandar besar. Ia juga mempunyai tabungan yang cukup besar yang didermakan oleh masyarakat pedagang Cina.

Sementara SJK Tamil pula adalah antara sekolah termundur daripada segi prasarana dan kewangan.

Saya enggan mengulaslah mengenai latar belakang sekolah itu dalam menghasilkan pelajarnya, tetapi kita tidak mahu lagi adanya jurang antara kaum yang sering dibahaskan di negara ini.

Kita tidak mahu melihat lagi sekolah-sekolah SK hanya diliputi oleh anak-anak Melayu dan India sahaja sedangkan sebahagian besar anak-anak kaum Cina ke sekolah lain.

Inilah juga masanya idea Sekolah Wawasan yang cuba dicetuskan oleh Tun Mahathir Mohamad satu ketika dulu — tetapi gagal — dihidupkan semula dalam usahakan menjadikan slogan “Satu Sekolah Untuk Semua” itu menjadi kenyataan.

Tun dan Dr Maszlee boleh menggunakan iltizam politik mereka untuk membuat perubahan ini.

Saya tidak tahu apa di dalam benak fikiran Tun Dr Mahathir apabila beliau juga amat berminat memegang portfolio Pendidikan ini dengan kata-katanya:

“Saya ingin mengambil alih portfolio pendidikan kerana saya fikir ramai orang tidak berpendidikan di negara ini. Jadi, saya fikir saya akan memberikan lebih tumpuan kepada perkara tersebut.”

Hasrat Tun untuk memegang portfolio itu gagal kerana ia dikatakan bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan, yang menghendaki Perdana Menteri tidak memegang portfolio lain.

Mungkin juga beliau mahu mengembalikan gagasan sekolah wawasan beliau? Atau juga beliau mahu mengembalikan jurusan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran tertentu?

Saya acap kali ada menulis mengenai tema satu sekolah untuk semua dalam kolum Cuit di Utusan Malaysia satu ketika dulu. Tetapi ia tidak diendahkan. Politik parokial lebih menguasai segalanya.

Wahai YB Dr Maszlee, seluruh rakyat Malaysia kini memerhati YB dengan penuh harapan.

Harapan yang mahu melihat sistem pendidikan persekolahan kita — akan membentuk anak bangsa Malaysia sejati — dapat direalisasikan.

SJK, bukanlah pilihan untuk rakyat negara ini. Ia tidak sepatutnya berdiri dalam konteks “selagi ada bulan dan bintang” di tanah air Malaysia ini. Ia harus diubah.

Jika itu berlaku maka institusi lain pun boleh dibuka.

Selamat menjalankan tugas YB!

4 Comments

  1. Anonymous

    Biasanya menteri2 ni akan minta pihak2 lain buat kajian sesuatu dasar. Malangnya mereka memilih pihak2 yg ada kepentingan utk kumpulan mereka. Nanti pihak2 tu nanti kata tiada perlu lagi bacaan doa setiap perhimpunan awal minggu sekolah. Tidak boleh ada surau dlm sekolah dan mcm2 lahi nak jadikan sekolah2 kebangsaan adalah sekolah semua kaum bukan untuk pelajar Islam sahaja.

    Reply
  2. Anonymous

    Bacalah Buku Harapan …. teras dan janji dalam Buku Harapan masih mahu meneruskan sekolah vernakular ….

    Reply
  3. Wahid Hashim

    Dahulu bila kerajaan BN nak buat sekolah Wawasan atau hapuskan sjkc atau sjkt untuk jadi satu aliran ditentang bagai dunia nak kiamat bagi mereka.
    Adakah sekarang mereka sudah menerima usul berkenaan, atau mahu satu bentuk sekolah macambsingapura?
    Macam mana sekolah singapura?
    Di singapura, sekolah aliran agama dan melayu pernah ditekan, tetapi.makin berkembang dan dipandang tinggi setelah sekolah agama menunjukkan prestasi akademik yang tinggi.
    Di Malaysiapun, ramai pelajar sekolah tahfiz dan agama yang diserap dalam mainstream pada era Umno telah mengharumkan nama negara dalam olympiad math dan sains peringkat dunia mengatasi waima china dan eropah dsbnya.
    Semaklah PPPM 2013 2023 yang dalam usaha mentransformasikan lanskap pendidikan negara secara holistik.
    Saya rasa, pendidikan sekolah dan universiti sudah berada di landasan betul sejajar perkembangan industri, terbuka, dan matang.
    Kepercayaan sosial adalah hak individu, dan tidak wajar dikaitkan dengan pendidikan negara.
    Kalau menteri baru hendak menukar lagi sistem, maka betullah anak anaklah akhirnya jadi tikus makmal.
    Berhemahlah.
    Kalaulah ada kesilapan lampau, belajar dari kesilapan.
    Tak perlu reinvent the wheel kerana ia akan memakan kohort masa, sekaligus meletihkan guru yang asyik terkesan dengan perubahan…wassalam.

    Reply
  4. BADRUDDIN SYAH

    Adalah amat mengecewakan bila berdepan murid yang tidak menguasai bahasa kebangsaan di tingkatan 1 dan 2 di mana segala bentuk pembaharuan yang diminta dijalankan oleh kementerian dalam mengajar tidak dapat dijalankan atas sebab yang paling asas, “gagal berlakunya komunikasi antara murid dan guru.” Ye, murid-murid dari sekolah jenis kebangsaan dilepaskan ke menengah rendah harus sudah menguasai penulisan dan pertuturan bahasa kebangsaan- tiada jalan lain sebelum mahu berbicara tentang perpaduan mahupun mengadaptasi sistem pendidikan luar yang berkesan jika komunikasi antara guru dan murid tiada langsung sepanjang waktu induksi 5mins pertama di dalam kelas. Kegagalan komunikasi ini menimbulkan jurang rasa hormat antara guru dan murid. Makanya, saya menantikan tamatnya aliran sekolah jenis kebangsaan (C) dan (T) dengan adanya kerajaan baru ini.

    Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published.