Kini kita sudah berada di bawah kerajaan baharu. Kerajaan Malaysia Baharu yang dikatakan — mengamalkan kebebasan akhbar, bersuara dan bebas meluahkan perasaan.

 Sebagai wartawan-bukan-ahli politik selama hampir 29 tahun, sudah tentu saya suka dengan suasana ini. Sudah tentu kami semua akan bertempik gembira mendengar luahan itu. Sebagai wartawan yang pernah mengajar kewartawanan di universiti, itulah yang pernah saya lecture kepada para pelajar saya selama ini.

Itulah cita-cita kami selama ini. Selama ini kami hanya menulis cerita yang baik-baik sahaja. Jika kita kritik sedikit, lama-lama kolum itu boleh dilenyapkan. Seorang kolumnis di sebuah akhbar lain pun pernah mengeluh kepada saya. Kolum saya pun mengalami nasib yang sama tiba-tiba dah hilang, kata bekas editor bertaraf tokoh Kajai itu.

Semasa kerajaan dahulu, ramai juga para penulis dijadikan penulis upahan kerana mahu ditulis semuanya elok dan menghentam orang yang tidak disukainya.

Saya tak taulah betulkah dakwaan itu, tetapi jika rakan-rakan sendiri mengiyakan perkara itu, maka saya berani kata “benarlah”.

Tapi saya tak salahkan penulis itu kerana mungkin gajinya kecil nak tampung keluarga.

Itu satu hal. Satu hal lagi, jika kita kritik pembangkang (masa itu) maka kebarangkalian kena saman juga cukuplah besar. Maka akhbar dijadikan mangsa dengan tindakan-tindakan saman. Perkara benar yang ditulis itu dipusing oleh mereka menjadi fitnah pula. Ironinya, pembangkang hari itu adalah kerajaan hari ini.

Maka banyaklah media yang kalah dalam perbicaraan. Sebenarnya banyak faktor mengapa akhbar kalah dalam mahkamah. Antaranya mungkin peguam yang lemah, tak cukup bukti, atau benar wartawan itu terkhilaf dan macam-macam lagilah.

Itulah sebenarnya nasib media di Malaysia. Sebagai negara sedang membangun atau negara dunia ketiga, kita masih terkebelakang dalam serba-serbi.

CNN sehingga sekarang terus mengkritik Presiden Donald Trump saban hari. Mereka cukup istiqamah dalam pemberitaan mereka. Nasib baik mereka berada di negara maju, negara dunia pertama, yang benar-benar matang. Kalau tidak asyik kena samanlah.

Politik kita pun sebenarnya masih dunia ketiga. Janganlah kata kita sudah hebat. Media kita pun masih terkebelakang. Jauh terkebelakang.

Sistem kerajaan kita pun masih sama, sehingga Tun Dr. Mahathir Mohamad pun naik pening dibuatnya.

Namun, seperti yang pernah saya kata dalam buku saya Cuit: Dilema Melayu Moden (2013) — apa yang berlaku kini adalah satu proses kematangan (a maturing process), baik terhadap rakyatnya, media mahupun kerajaannya.

Semuanya ada hikmah. Tapi nafsu sering kali akan menguasai hikmah, sehingga ia menjadi seperti “cakap tak serupa bikin”.

Tapi tak apa, kerana kita masih di dunia ketiga. Kita ada alasan. Hidup mesti diteruskan!

Raja Muda Perlis yang cukup sporting

MINGGU lalu saya berada di bandar diraja Arau, Perlis atas urusan rasmi.

Di situ juga terletak UiTM yang amat dihormati oleh para alumninya. Ia sudah melahirkan orang seperti Shazalli Ramly (mantan tokoh NTV7, Celcom, Axiata, TM); Mohamed Azahari Kamil (Pengarah Urusan QSR, pengendali rangkaian restoran KFC); Othman Aziz (mantan Timbalan Menteri Kewangan); Zulkifli Abas (CEO Bank Rakyat); Aminuddin Md. Desa (mantan CEO PKNP) dan ramai lagi.

Setiba di Arau saya sempat singgah di Masjid UiTM Arau mendengar ceramah daripada Mufti Perlis, yang lebih dikenali sebagai Dr. Maza.

Menarik juga ceramahnya di hadapan 3,000 pelajar baru di minggu orientasi itu. Kisahnya lebih kurang mengenai “apa bezanya amalan ibadah di Perlis dengan negeri-negeri lain”.

Sebagai orang Melayu beragama Islam saya boleh terima ceramah itu. Bak kata pepatah Melayu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kita sudah berada di bumi Perlis, ikut sahajalah.

Selepas ceramah itu, saya dibawa oleh Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin ke satu tempat. Jom kita pergi tengok bola, katanya.

Kami memasuki ke Istana Arau menyaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bermain bola sepak. Hampir ke semua yang bermain dengannya adalah ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta di negeri Perlis.

Sebenarnya ia adalah rutin Tuanku. Maka itu hubungan mereka cukup mesra. Apa yang menarik, dalam pertandingan itu pelbagai ritual atau amalan dibuat. “Itulah istimewanya kami ini, ada macam-macam ritual,” titah Tuanku sambil tersenyum lebar. Kebetulan salah seorang anggota menyambut hari lahir. Maka di atas padang kek dibawa dan dilumurkan ke mukanya dengan nyanyian lagu hari lahir pelbagai versi bahasa. Semuanya tepuk tangan gembira.

Selepas itu semasa jam pukul 11 malam, satu lagi ritual ialah menjamu selera dengan baginda. Di masa itu, dua tiga orang pemain diminta membuat ulasan permainan tadi. Itu juga ritual.

Keesokan harinya selepas majlis rasmi tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis melakukan satu lagi rutin iaitu bersama-sama lebih 30 pengayuh membuat kayuhan amal. Pada kayuhan itu, seramai 115 asnaf menerima wang zakat masing-masing di beberapa laluan yang dilalui. Ramai juga pengayuh yang merungut kerana ditinggalkan jauh oleh Tuanku semasa kayuhan.

Oleh kerana saya tidak mengayuh, saya didenda baginda, flag off kayuhan itu.

Memang benar Perlis lain daripada yang lain. Dirgahayu Tuanku!