Cuit Zaini Hassan

Perihal Datuk Seri, Datuk-Datuk dan YB-YB sekalian…

TAHNIAH… Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof memperkatakan sesuatu mengenai kalung dipakai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution sambil diperhati Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun selepas kesemua mereka dianugerahi Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri, pada Oktober lepas.

 

SAYA masih ingat semasa membuat liputan berita lebih 20 tahun dahulu, hanya Perdana Menteri sahaja yang bergelar Datuk Seri.

Pada masa itu PM ialah Dr. Mahathir. Ada yang memanggil beliau Doktor sahaja. Tapi rata-rata wartawan akan memanggil beliau dengan gelaran Datuk Seri.

Pada masa itu Datuk Seri cuma beliau seorang sahaja. Tidak ramai juga yang bergelar Tan Sri pada masa itu. Rata-rata menteri hanyalah bergelar Datuk atau Dato’.

Tapi hari ini berbeza. Datuk atau Dato’ sudah semacam tiada nilai. Bak kata orang, baling batu terkena kepala Dato’.

Ini menyebabkan ramai berlumba-lumba mahu dikenali sebagai Datuk Seri. Yang muda-muda pun berebut.

Dulu hanya PM sahaja Datuk Seri. Lihat betapa turun dengan merudumnya nilai Datuk Seri, sama seperti Datuk juga.

Gelaran Tan Sri pun sudah ramai. Ramai bos-bos saya bekas-bekas Ketua Pengarang sudah Tan Sri. Dahulu menteri-menteri kanan pencen sahaja yang bergelar Tan Sri. Sekarang Naib-Naib Canselor Universiti yang masih berkhidmat pun Tan Sri.

Gelaran Tun, bagaimanapun masih tinggi nilainya. Mungkin kerana ia hanya dianugerahkan di peringkat persekutuan dan paling tinggi, maka pemilihannya cukup ketat.

Alumni dan pelajar tua Maktab Mara, RIDA, ITM dan UiTM pernah melobi agar ayahanda mereka Tan Sri Arshad Ayub dianugerahkan dengan Tun. Tapi masih belum berjaya.

Lima belas November ini, ayahanda Arshad genap 90 tahun. Masanya juga sudah suntuk. Harap-harap beliau terima anugerah Tun.

Walau bagaimanapun, berita dalam seminggu ini cukup menarik. Ia membabitkan soal Datuk-Datuk Seri.

Tahniahlah kepada YB-YB Menteri Kabinet, rata-rata kesemuanya Melayu, dianugerahkan pingat kebesaran Negeri Melaka membawa gelaran Datuk Seri.

Dulu PM sahaja bergelar Datuk Seri, sekarang mereka. Mungkin kerana PM sekarang bergelar Tun, maka Datuk Seri oklah.

Ironinya kerajaan sebelum ini, PMnya Datuk Seri, menteri-menteri yang lain pun Datuk Seri.

Namun pemberian pingat-pingat kebesaran ini di negara ini menunjukkan bahawa sistem feudalisme masih wujud.

Ia berteraskan kepada tradisi kesultanan Melayu dan ia masih diterima pakai dan dihormati di negara ini.

Selagi Malaysia bukan sebuah Republik, dan tiada bibit-bibit mahu diubah ke arah republik, maka upacara unik sedemikian akan berterusan.

Upacara penganugerahan pingat-pingat kebesaran, pada umumnya dijalankan mengikut adat istiadat Melayu. Jika ia dilaksanakan di dalam Balai Rong Seri istana-istana, istiadatnya dijalankan dalam suasana penuh tertib, sopan santun, penuh pekerti dan lemah lembut.

Ia disaluti dengan asas keagamaan, tutur kata istana mengikut tatacara istana kerajaan negeri masing-masing.

Banyak orang yang mendambakan penganugerahan demikian. Malah ada yang sanggup menggunakan pelbagai cara mahukan gelaran itu.

Di negara ini, penganugerahan pingat-pingat kebesaran dilaksanakan di peringkat persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong, di negeri-negeri yang mempunyai Sultan, Yang di-Pertuan Besar dan Raja serta negeri-negeri yang dinaungi oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Mungkin ada kritikan mengatakan ada istana yang amat mudah menganugerahkan gelaran; juga kritikan ada duli-duli yang maha mulia al-Sultan tertentu yang ‘kedekut’ menganugerahkan pingat-pingat.

Ada juga lelucon yang mengatakan negeri itu dan ini dengan mudah menganugerahkan pingat Dato’ kepada pelbagai individu sehingga menjadi bahan senda.

Namun, sebagai orang yang pernah menerima anugerah-anugerah sedemikian, ia bukanlah semudah yang dikatakan. Pelbagai proses perlu dilalui bagi memastikan calon-calon itu layak, walaupun ada juga yang terlepas dan tersalah pandang.

Menariknya dalam seminggu ini ekoran penganugerahan pingat kepada YB-YB Menteri itu, beberapa suara kedengaran.

Antaranya, sebuah kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) yang mendesak amalan penganugerahan kepada ahli-ahli politik dan para menteri dihentikan.

Dalam kenyataan kumpulan itu, ia menyatakan: “pingat-pingat kebesaran tidak boleh sewenang-wenang dianugerahkan, tetapi diberi setelah melalui proses saringan yang ketat kepada mereka yang tidak dipersoalkan sumbangan “luar biasa” mereka kepada masyarakat, di luar bidang kuasa mereka.”

“Menteri-menteri yang masih berkhidmat dan wakil-wakil rakyat, tidak sepatutnya menerima anugerah itu, terutamanya dalam kedudukan mereka sebagai penjawat jawatan.”

Betul juga argumen mereka. Saya sendiri sebelum menerima pingat tertinggi, menerima empat pingat rendah-rendah lain dahulu. Bukan terus lompat pagar.

Sementara itu, akhbar The Star bertarikh 14 Oktober 2018 memetik kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegur beberapa orang ahli partinya menerima anugerah ‘Datuk’ yang katanya “tidak mencerminkan prinsip parti”.

Kita tahu DAP ialah parti berteraskan sosialisme. Ia tidak berapa minat dengan gelaran-gelaran pingat-pingat ini. Mungkin itu pasal YB-YB keturunan Melayu sahaja, yang rata-rata terima.

Kata Guan Eng lagi, menerima anugerah itu dalam tempoh setahun membentuk kerajaan baharu tidak mencerminkan perjuangan parti, tetapi sebaliknya memberi gambaran yang tidak baik kepada rakyat.

Apa pun pendapat, itu pendapat mereka. Ia lebih bersifat sosialisme daripada fuedalisme ke-raja-an Melayu.

Tapi ada benar juga teguran itu. Jangan gelojoh sangat. Kamu baharu sangat lagi. Belum panas pun, belum berjasa pun, polisi pun belum berjalan dan putih pun belum bertukar hitam.

Namun kita berharap sistem pemberian pingat-pingat kebesaran ke atas sumbangan rakyat akan diteruskan. Itulah sahaja antara simbol kepada sistem Raja-Raja Melayu Berdaulat tanah air kita ini.

Ampun Tuanku, tulisan patik ini hanya cuitan semata. 

Dirgahayu Tuanku-Tuanku sekalian!

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/perihal-datuk-seri-datuk-datuk-8232-dan-yb-yb-sekalian-1.768801#ixzz5YuUh9Klo

Leave a Comment

Your email address will not be published.