Cuit Zaini Hassan

Wahai talam dua muka…

DALAM pengembaraan hidup manusia akan menempuh ranjau dan halangan sebagai ujian kesabaran masing-masing.

Banyak menyerah pada nasib seperti daun kering jatuh ke air dibawa arus entah ke mana.

Duka lara perjalanan hidup menambah pengalaman, menjadikan manusia lebih matang, berjiwa kritis dan membentuk sejarah hidupnya sendiri.

Setelah mengabdikan hidup dalam bidang kewartawanan hampir 30 tahun, ada hamba Allah menggelar diri saya sebagai talam dua muka.

Saya ketawa besar apabila dituduh sedemikian. Saya tidak marah, mungkin kerana orang yang menuduh saya itu kurang cerdik.

Sebagai wartawan saya boleh berkawan dengan sesiapa sahaja yang saya suka. Saya boleh kawan dengan penyamun, perompak sehinggalah kepada orang politik.

Orang politik pula, kita bukan pilih orang yang kita suka sahaja. Yang orang tak suka pun kita bersahabat. Bukan semua orang politik yang berotak. Jika ada peluang kita belasah, kita belasahlah.

Itulah tugas wartawan. Jadi apa salahnya jika saya ini talam dua muka sebagai seorang wartawan?

Namun siapa itu sebenarnya talam dua muka, atau talam banyak muka?

Orang mencari peluang untuk membahagiakan kehidupan mereka, menonjolkan diri sebagai pemimpin atau seorang yang berjaya.

Saingan dalam hidup menjadikan manusia cepat berubah, baik dari segi minda, perjuangannya mahu pun sejarah hidupnya.

Hidup adalah suatu perjuangan yang panjang. Anda sendiri membentuk sejarah diri sendiri. Apa yang anda tanam itulah yang anda dapat. Anda menentukan destinasi hidup anda mewarnainya menurut selera nafsu anda sendiri.

Ada manusia hidup bermuka-muka, kaya dengan kepuraan dan kepalsuan. Tujuannya jelas. Dia ingin mendapat perhatian khalayak ramai, menerimanya sebagai manusia yang berjaya dalam hidup.

Seorang politikus yang rakus sanggup menjadi pembohong super tegar kerana ingin mendapatkan sanjungan masyarakat sebagai pejuang agama, pembela rakyat, berjiwa patriotis.

Kebanyakan politikus menjadikan kepura-puraan sebagai ‘addin’ dalam perjuangan politiknya. Lidah diputar, serban dijunjung tapi nawaitu perjuangan tetap songsang.

Mereka pandai berlakon untuk mendapat perhatian, sokongan dan pujian. Yang salah betul, yang betul salah. Harga diri dan maruah dipinggirkan. Yang penting survival sebagai pemimpin.

Maka itulah sebenarnya talam dua muka. Ibarat gergaji disorong makan, ditarik pun makan.

Mereka meletakkan kepentingan diri di atas segala kepentingan rakyat atau golongan dan parti. Kejayaan dan kejatuhan mana-mana pemimpin politik patut menjadi iktibar dan keinsafan kepada setiap insan yang berhajat menjadi pemimpin.

Orang yang menjadi talam dua muka sebegitu lazimnya tidak ada pendirian tetap, tiada prinsip hidup yang perkasa.

Dia seperti sesumpah mengkarung boleh menukar warna dan wajah menurut keadaan.

Dia betah menuduh orang lain talam dua muka, sedang dia sendiri talam banyak muka.

Dia bermuka-muka dengan siapa saja yang dia dampingi untuk mendapat faedah tertentu.

Dia adalah munafik (ulang: munafik) yang menyesuaikan diri dan mindanya menurut keperluan dirinya.

Prinsip hidupnya berubah-ubah.

Insan talam dua muka inilah bahaya menjadi pemimpin.

Kesetiaannya berbelah bahagi menurut keperluan dirinya. Dia sanggup menjadi keldai tunggangan kalau ia memberi faedah besar kepadanya.

Yang penting apa aku dapat, dan bukan apa sumbangan aku yang ikhlas untuk orang lain.

Kepentingan ‘aku’ mengatasi segala kepentingan lain. Apa saja yang dilakukan kepentingan ‘aku’ lebih afdal dari segala perjuangan.

Soalnya apakah sikap talam dua muka atau seperti gergaji disurung makan ditarik makan mencapai kebahagiaan hidup?

Tidak juga. Lambat laun dia akan kecundang, diketahui orang, dan berakhir dengan maki hamun, nista dan sumpah seranah.

Dia membina mitos tentang kekayaan, kebahagiaan untuk mendapat sanjungan orang ramai.

Tapi dalam dunia sorak-sorainya dia tetap bermimpi ngeri menemui ajal yang mendatang.

Maafkan saya pembaca budiman sekalian, tulisan kali ini memerlukan kalian berfikir banyak kali untuk memahaminya — memahami erti sebenar “talam dua muka”.

Ibarat seni kias orang Melayu: Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih; atau bak pepatah orang putih berbunyi: The pot calling the kettle black.

Membawa erti mencela orang, tapi diri sendiri ternyata lebih buruk, jelak dan hodoh daripada orang yang dicela.

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/wahai-talam-dua-muka-1.764238#ixzz5YuLhSe21

Leave a Comment

Your email address will not be published.