Cuit Zaini Hassan

Mokte Rende; Mat Nor dan luasnya perjalananku…

MAAF kerana lama tak menulis. Saya sibuk — lari ke sana ke mari.

Walaupun saya tidak lagi bertugas ikut jam (siang-malam) seperti dulu, tapi dalam lima bulan ini saya cukup sibuk.

Setelah tamat mengabdikan diri dalam dunia media di Utusan Melayu selama 29 tahun 6 bulan pada November lalu, kini saya masih tidak mendiamkan diri.

Malah dalam lima bulan ini saya telah menjelajah sehingga hampir 30,000 kilometer dari benua Eropah ke Asia Tenggara hingga ke Jepun.

Jangan tanya apa saya buat. Ia sebahagian jalan-jalan dan bekerja. Sebagai penulis, perjalanan itu adalah suatu pekerjaan.

Kini saya lagi sibuk kerana mengendalikan sebuah syarikat media — Rare Media Sdn. Bhd; yang dijalankan bersama sifu-sifu media, X-Utusan. (Doakan kami berjaya. Amin!)

Sejak Sabtu lalu saya terbang ke Kuala Terengganu untuk menghadiri satu majlis perkahwinan seorang sahabat, kebetulan bertemu dengan rakan lama saya semasa kami belajar di Stirling, Scotland sekitar 1995.

Sudah lama tak ke temu dan itulah pertama kali kami bertemu semula.

Dr. Dahlan ialah bekas profesor ekonomi dan perniagaan di universiti. Beliau sudah bersara. Kami berpeluk-peluk. Kerana ingatan saya ialah dialah yang menjemput saya apabila tiba di Glasgow Airport — tanpa mengetahui apa-apa mengenai tempat itu.

Kemudian dia melantik saya selaku timbalan presiden pelajar Malaysia di universiti itu dan beliau adalah presiden. Banyak program yang kami jalankan.

Kemudian saya kembali ke tanah air dan kami hilang hubungan kerana mengejar duniawi.

Pertemuan di Kuala Terengganu itu adalah ketentuan Allah Taala.

Dari Kuala Terengganu saya ke Kota Bharu untuk menghadiri satu majlis alumni UiTM Kelantan di Hotel Perdana dan hari berikutnya dijemput ke UiTM KB untuk bercakap soal hala tuju institusi pengajian tinggi.

Saya bercakap mengenai ekonomi digital dan masa depan universiti — dengan wujudnya sekolah maya seperti Udemy.com; Skillshare.com; Coursera.com.

Saya bercakap, Udemy contohnya memiliki 24 juta pelajar, 120,000 tenaga pengajar atau instructors, dengan nilai semasa AS$800 juta.

Saya tinggalkan persoalan. Dalam dunia tanpa sempadan—globalisasi dan perkampungan global ini, apa akhirnya kepada universiti fizikal ini?

Terima kasih Rektor UiTM Kelantan, Prof. Madya Dr. Tuan Mohd. Rosli Tuan Hassan yang menyediakan ruang itu kepada saya.

Di KB, yang saya pernah menetap selama hampir dua tahun pada 1990, banyak mengimbau kenangan manis.

Dua hari di KB, saya sempat bertemu dengan rakan-rakan lama. Ada yang sudah bersara. Ada yang kini mengabdikan diri dengan Allah Taala sebagai “orang masjid” sepenuh masa.

Saya juga sempat berjumpa dengan sepasang suami isteri — rakan saya dan isteri saya yang sudah hampir 27 tahun tidak ke temu.

Beliau ialah Mohd. Noor Mahmud dan Norasiah. Kami memanggil Mohd. Noor atau Mat Nor dengan panggilan Heng dan isterinya Kak Nor, walaupun kami sebaya.

Mat Nor ialah lulusan Sekolah Senilukis dan Senireka (Art and Design) ITM sekitar 1984-1988 dan isterinya lulusan Undang-Undang ITM.

Kedua-dua mereka ialah kontemporari saya dan isteri saya semasa di ITM. Sebagai anak Kelantan, kedua-dua mereka menetap di KB, kampung halaman mereka.

Koleksi lukisan Mat Nor di Gallery Mokte Rende

Mat Nor, permata alumni ITM ialah artis kontemporari terkenal Malaysia.

Strok lukisan beliau ialah mengenai kajian hubungan Islam dan Melayu.

Dalam buku Siri Rasa Bertuhan, ia menulis:

“Kajian yang teliti ditujukan kepada orang Kelantan, dan ini menghasilkan takrifan orang Melayu sebagai satu komuniti etno-agama, melalui perayaan estetik nama-nama Allah.”

Mat Nor cukup istiqamah dalam hasil seninya.

Lagi koleksi lukisan Mat Nor di Gallery Mokte Rende

“Aku abdi diri selama lima jam sehari dalam bidang ini — konsisten. Kalau ilham terbit, walaupun jam 3 pagi, aku akan bangkit masuk woksyop.”

Woksyopnya ialah di rumahnya sendiri dekat Chempaka KB.

Sebelum pulang ke KL, Mat Nor menjemput saya ke galerinya, yang sekali pandang telah menawan hati saya.

“Saya belum buka secara rasmi kepada umum lagi,” katanya yang membeli sekeping tanah dekat Chempaka KB lebih 10 tahun lalu.

Setibanya di kawasan galeri itu saya melihat sebuah bangunan yang dikelilingi rimbunan rambutan dan pokok kayu yang lain.

Mat Nor bersama meja kerjanya yang turut ditawarkan untuk dibeli oleh pengumpul seni beliau.

Gabungan kedudukan bangunan galeri, pepohonan dan lamannya juga cukup kontemporari; satu jalinan artistik seni bina yang sederhana tapi menarik.

“Saya usahakan sedikit demi sedikit dan di sinilah stok hasil seni saya dikumpulkan.”

Sambil berseloroh saya berkata bukan stok tetapi “fixed deposit” atau simpanan tetap yang bernilai tinggi.

Salah satu penjuru Mokte Rende.

Setakat ini, Mat Nor, yang pernah melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana di Leicester pada 1996, telah memulakan siri pameran awalnya: Imajan (1986-1991) — siri yang meneliti trend seluar jeans sejagat dan kesan kepada industri batik Malaysia; Siri Gua (1990-1998); Siri Kala Kota Bharu (1999-2005); Siri Rasa Bertuhan (2011-2013).

Karya-karya beliau telah dipamerkan di seluruh dunia.

“ITM telah berjaya melahirkan aku menjadi seperti hari ini. Tetapi kita kena istiqamah. Rajin. Ikhlas. Hati yang bersih.”

Gambar kenangan Mat Nor (kiri), saya dan isteri saya Sarimah di depan Gallery Mokte Rende.

Berbalik kepada galeri beliau, ia terletak di Lorong Gallery, Chempaka KB.

Nama galeri itu ialah Mokte Rende atau dalam bahasa Melayu bererti rambutan rendang.

Ikuti mengenai galeri itu dalam https://www.facebook.com/pages/category/Art/Galeri-mokte-rende-2039868306280065/

Tahniah Mat Nor. Satu nama hebat artis kontemporari Malaysia yang tersohor.

Tak sia-sia, saya banyak merayau sekarang ini!

Leave a Comment

Your email address will not be published.